Airbus sasar UAE bagi pembuatan komponen pesawat A400M, hab MRO

Bernama
Mac 5, 2025 08:00 MYT
Airbus akan melaksanakan inisiatif latihan dan sokongan teknikal yang mantap sambil memupuk kerjasama industri untuk melengkapkan tenaga kerja UAE dengan kepakaran termaju. - Gambar hiasan/REUTERS
ABU DHABI: Airbus sedang meneroka rancangan untuk mengeluarkan komponen utama pesawat pengangkut tentera A400M di Emiriah Arab Bersatu (UAE), seterusnya mengintegrasikan negara itu ke dalam rantaian bekalan aeroangkasa global.
Presiden Airbus bagi Afrika dan Timur Tengah, Gabriel Semelas memberitahu Agensi Berita Emiriah (WAM) yang inisiatif itu akan meningkatkan peranan entiti yang berpangkalan di UAE, termasuk EPI dan Strata, dalam pengeluaran dan pembekalan komponen pesawat.
Selain pembuatan, Airbus menyasarkan untuk menubuhkan kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) yang komprehensif untuk A400M di UAE.
Rancangan itu juga termasuk pusat latihan khusus, mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab serantau untuk kecemerlangan penerbangan.
Semelas menekankan komitmen Airbus untuk membangunkan bakat tempatan melalui program latihan yang disasarkan dan perkongsian penyelidikan.
Usaha ini akan menyokong hasrat UAE untuk memajukan aeroangkasa dan industri masa depannya.
Kewujudan peluang kerja dan pembangunan kemahiran adalah teras kepada strategi Airbus, katanya, sambil menjelaskan yang syarikat itu akan melaksanakan inisiatif latihan dan sokongan teknikal yang mantap sambil memupuk kerjasama industri untuk melengkapkan tenaga kerja UAE dengan kepakaran termaju.
-- BERNAMA
#Airbus #UAE #pembuatan komponen pesawat #bekalan aeroangkasa global
;