Airbnb sediakan tempat tinggal percuma buat 20,000 pelarian Afghanistan

Nailah Huda
Ogos 24, 2021 18:03 MYT
Sejak ibu kota Kabul jatuh ke tangan Taliban, berpuluh ribu rakyat Afghan cuba melarikan diri dari Afghanistan sehingga mengakibatkan lapangan terbang Kabul sesak. - Reuters
KUALA LUMPUR: Airbnb hari ini mengumumkan inisiatif perumahan secara percuma buat 20,000 pelarian Afghanistan di seluruh dunia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Airbnb Brian Chesky pada Selasa, program itu akan bermula serta-merta melalui pembiayaan oleh syarikat perkhidmatan penyewaan itu sendiri.
"Perpindahan secara terpaksa dan penempatan semula pelarian Afghan di Amerika Syarikat serta negara lain merupakan salah satu krisis kemanusiaan terbesar pada zaman ini.
"Saya berharap ini memberi inspirasi kepada pemimpin perniagaan lain untuk turut mengikuti langkah yang sama," kata Brian menerusi Twitter.

Starting today, Airbnb will begin housing 20,000 Afghan refugees globally for free.

— Brian Chesky (@bchesky) August 24, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Brian menjelaskan bahawa syarikat tersebut akan bekerjasama rapat dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta cabang syarikat bukan berasaskan keuntungan, Airbnb.org, yang menyediakan tempat tinggal kepada golongan terkesan akibat bencana alam dan krisis-krisis lain.
Menurut laman web Airbnb.org, seramai 75,000 orang dari seluruh dunia menggunakan perkhidmatan tersebut sejak 2012.
Brian bagaimanapun tidak memperincikan berapa jumlah peruntukan yang disediakan Airbnb, serta berapa lama golongan pelarian boleh memanfaatkan inisiatif tersebut.
Sejak ibu kota Kabul jatuh ke tangan Taliban, berpuluh ribu rakyat Afghanistan cuba melarikan diri dari Afghanistan sehingga mengakibatkan lapangan terbang Kabul sesak.
Amerika Syarikat menganggarkan seramai 48,000 orang dibawa keluar dari negara itu baru-baru ini.
#Airbnb #Afghanistan #pelarian #Taliban
;