Airbnb peruntuk AS$250 juta untuk pengusaha terjejas akibat COVID-19

Nailah Huda
Mac 31, 2020 10:17 MYT
Dana tersebut digunakan untuk bantu pengusaha bayar 25 peratus daripada pembayaran pembatalan tempahan antara 14 Mac dan 31 Mei. Foto - REUTERS.
AIRBNB pada Isnin umum akan memperuntukkan AS$250 juta (kira-kira RM1.08 bilion) untuk membantu meringankan beban pengusaha sewaan rumah syarikat itu yang mengalami kerugian akibat pandemik COVID-19.
Dalam satu surat yang dihantar kepada pengusaha Airbnb daripada Ketua Eksekutifnya, Brian Chesky, bantuan tersebut ditawarkan kepada pengusaha di seluruh dunia, kecuali China.
Dana tersebut digunakan untuk membayar 25 peratus daripada pembayaran pembatalan yang perlu ditanggung pengusaha Airbnb bagi tempahan di antara 14 Mac dan 31 Mei 2020.
Namun, kerana pengusaha boleh memilih syarat-syarat pembatalan yang berbeza - sama ada mengenakan bayaran penalti atau membenarkan pembatalan secara percuma - tidak semua pengusaha layak menerima bantuan tersebut.
Airbnb turut membenarkan pengusaha untuk membatalkan tempahan tanpa caj.
Syarikat sewaan rumah tersebut membiayai dana itu sendiri yang mula disalurkan pada April.
Menurut sumber kepada Reuters, pendapatan Airbnb pada 2019 melebihi AS$4.8 bilion pada 2019, meningkat 35 peratus berbanding tahun lepas serta memiliki $3 bilion wang tunai.
Pada masa sama, Airbnb turut membangunkan bantuan kewangan khusus bernilai AS$10 juta untuk kelompok ‘Superhost’ - iaitu pengusaha yang menjana rating tertinggi - yang menyewakan rumah mereka atau perlu bantuan membayar sewa.
Pengusaha dibenarkan membuat permohonan untuk pemberian sehingga AS$5,000.
Dana tersebut dimulakan dengan sumbangan kakitangan Airbnb sendiri sebanyak $1 juta, manakala bakinya disumbangkan oleh tiga pengasas syarikat itu.
Industri pelancongan, terutamanya hotel dan perniagaan sewaan rumah antara yang paling terjejas ekoran pembatalan tempahan sewaan rumah dan penerbangan.
Menurut Institusi Forum Pelancongan Sedunia, industri pelancongan sedunia pada 2020 bakal berdepan dengan kerugian sebanyak AS$1 trilion akibat pandemik COVID-19.
#Airbnb #coronavirus #COVID-19 #industri pelancongan #koronavirus #pelancongan #penerbangan #sewaan rumah
;