AirAsia Thailand kembali terbang ke tujuh negara mulai April

Bernama
Mac 14, 2022 04:45 MYT
AirAsia Thailand turut akan mengembalikan semula sehingga 81 penerbangan seminggu menjelang Mei bagi menyokong pemulihan ekonomi negara. - Foto AirAsia
BANGKOK: AirAsia Thailand akan menyambung semula penerbangan antarabangsa ke tujuh negara melalui 18 laluan bermula April depan.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Thailand Santisuk Klongchaiya berkata memandangkan Thailand sedang membuka semula sempadan dan sekatan perjalanan ditarik balik, syarikat penerbangan itu akan terus mengadakan semula perkhidmatan antarabangsa bermula bulan depan di laluan yang meliputi negara-negara ASEAN dan Asia Selatan.
Mulai April, syarikat penerbangan itu akan terbang ke tujuh negara melalui 18 laluan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang di Bangkok, Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket dan Lapangan Terbang Antarabangsa Hat Yai di Songkhla, ini menyediakan sejumlah 38 penerbangan seminggu.
Selain itu, AirAsia Thailand akan mengembalikan semula sehingga 81 penerbangan seminggu menjelang Mei bagi menyokong pemulihan ekonomi negara.
"Kami memilih untuk menyambung semula laluan ke negara-negara yang berkongsi dasar pembukaan semula Thailand supaya tetamu kami boleh melakukan perjalanan tanpa perlu risau mengenai kuarantin.
"Laluan ini merangkumi negara-negara ASEAN dan Asia Selatan, kami juga bekerjasama rapat dengan Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand termasuk agensi-agensi yang berkaitan untuk menarik pengunjung sambil mengekalkan dan mematuhi langkah-langkah kesihatan awam," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau lagi, dengan pelawat asing dapat melakukan perjalanan ke seluruh Asia, syarikat penerbangan itu akan memanfaatkan rangkaian domestik AirAsia yang seterusnya akan membantu menjana pendapatan bagi semua wilayah negara.
Pada masa ini, AirAsia Thailand terbang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang Bangkok ke Phnom Penh, Kemboja, Maldives dan Singapura.
Mulai April, AirAsia Thailand akan terbang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang ke Hanoi, Bandar Ho Chi Minh (Vietnam), Bali (Indonesia), Kuala Lumpur dan Pulau Pinang (Malaysia), Bangalore dan Chennai (India), Phuket-Singapura dan Hat Yai-Kuala Lumpur.
Pada Mei pula, AirAsia Thailand akan menyambung semula penerbangan dari Bangkok ke Kolkata, Kochi dan Jaipur (India), Da Nang (Vietnam), Johor Bahru (Malaysia) dan Siem Reap (Kemboja).
Tetamu yang melakukan perjalanan dari Thailand ke pelbagai negara dengan penerbangan yang dikendalikan oleh AirAsia boleh melakukan perjalanan tanpa sekatan kuarantin mengikut keperluan perjalanan setiap negara.
Bagi mereka yang tiba di Thailand, pelancong akan menikmati program tanpa kuarantin "Test Go" dengan mendaftar untuk sijil kemasukan elektronik, Pas Thailand, terlebih dahulu.
Maklumat lanjut serta keperluan dokumentasi boleh dibaca pada https://tp.consular.go.th/.
-- BERNAMA
#AirAsia #Thailand #Malaysia #sambung penerbangan
;