AirAsia QZ8501: Mayat rakyat Malaysia diterbang ke tanah air

Bernama
Februari 11, 2015 14:40 MYT
Pesawat AirAsia QZ8501 itu membawa 162 orang dan setakat ini sebanyak 102 mayat ditemui dan pihak berkuasa juga menemui kotak hitam pesawat itu dua minggu lepas. - Gambar Fail
Penantian keluarga rakyat Malaysia yang terbabit dalam insiden AirAsia QZ8501 pada 28 Dis tahun lepas berakhir, apabila jenazah Sii Chung Huei diterbangkan ke Kuching, Sarawak hari ini.
Jenazah Sii berlepas dengan pesawat C-130 penerbangan ihsan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Landasan Udara Angkatan Laut (Lanudal) Tentera Nasional Indonesia di Juanda pada 10.40 pagi tadi.
Turut menaiki pesawat itu isteri Sii, Wong Muk Ngiik bersama dua anaknya serta beberapa anggota keluarga lain dan diiringi seorang pegawai dari Kedutaan Malaysia di Indonesia.
Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, mayat Sii ditemui pada 5 Feb dan dikenal pasti menerusi ujian DNA dua hari lepas sebelum diserahkan kepada warisnya semalam.
Katanya, Wong datang semula ke Surabaya pada 6 Feb sebaik sahaja mendapat tahu pihak berkuasa Indonesia telah menemui beberapa lagi mayat.
Wong dan beberapa anggota keluarganya sebelum itu berada di Surabaya selama lebih sebulan sejak hari kejadian pada 28 Dis tahun lepas untuk menunggu pencarian mayat suaminya.
[GALERI FOTO]: OBJEK SERPIHAN PESAWAT DITEMUI, SAR YAKIN MILIK AIRASIA QZ8501
"Kami berterima kasih kepada TUDM dan AirAsia yang telah banyak membantu bagi memudahkan kerja-kerja menguruskan dan menyerahkan jenazah kepada waris Sii serta membawa mayat dan waris ke Kuching di Sarawak," kata Zahrain kepada pemberita di sini hari ini.
Turut hadir mengiringi jenazah Sii di Lanudal ialah isteri Zahrain, Datin Seri Che Mahani Ismail.
Sii, 56, seorang ahli perniagaan berasal dari Kuching dan berpangkalan di Jakarta merupakan rakyat Malaysia tunggal yang berada dalam pesawat malang yang terhempas sejurus berlepas dari Surabaya ke Singapura pada pagi 28 Dis lepas.
Pesawat itu membawa 162 orang dan setakat ini sebanyak 102 mayat ditemui dan pihak berkuasa juga menemui kotak hitam pesawat itu dua minggu lepas.
Operasi mencari mayat masih diteruskan oleh Badan SAR Nasional (Basarnas).
#AirAsia QZ8501 #juanda #Sii Chung Huei #Zahrain Mohamed Hashim
;