AirAsia QZ8501: Airbus harap kotak hitam dapat kenal pasti punca nahas

Bernama
Januari 13, 2015 21:19 MYT
Bregier mahu mengulangi komitmen syarikat untuk menyokong siasatan dan menjadi sehampir yang mungkin kepada seorang daripada rakan terbaiknya di seluruh dunia, AirAsia. - Gambar AP
Syarikat pengeluar pesawat Airbus berharap penemuan kotak hitam pesawat Airasia Indonesia Penerbangan QZ8501 dapat merungkai punca insiden itu, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fabrice Brégier.
"Kotak hitam telah ditemukan dan dibawa naik dari dasar laut yang memberi saya harapan bahawa siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa akan memberi jawapan mengenai punca nahas.
"Apa yang kita mahu dalam kes ini ialah meneliti analisis terperinci mengenai faktor yang mungkin menjadi punca nahas," katanya dalam sidang media Tahunan Airbus yang berlangsung di Paris hari ini, yang disiarkan secara langsung melalui laman web di internet.
Brégier juga mengulangi komitmen syarikat untuk menyokong siasatan dan menjadi sehampir yang mungkin kepada seorang daripada rakan terbaiknya di seluruh dunia, AirAsia.
Kotak hitam terdiri daripada perakam data penerbangan (FDR) yang ditemui semalam serta perakam suara kokpit (CVR) yang dijumpai pagi tadi.
FDR merekodkan semua butiran teknikal berkaitan penerbangan manakala CVR merakamkan semua komunikasi dalam kokpit dan antara juruterbang dan Menara Kawalan Trafik serta dengan juruterbang pesawat lain yang terbang di sepanjang koridor penerbangan yang sama.
Pesawat yang membawa 162 orang termasuk tujuh anak kapal, hilang daripada imbasan radar pada 28 Dis semasa dalam penerbangan dari Surabaya, Indonesia ke Singapura.
Pesawat malang itu terhempas di perairan Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah, Indonesia.
#AirAsia QZ8501 #Airbus #Fabrice Bregier #Kalimantan Tengah #Ketua Pegawai Eksekutifnya #Pangkalan Bun #presiden
;