'Air terjun terbalik' di Sydney akibat angin kencang
Agensi
Februari 9, 2020 22:31 MYT
Februari 9, 2020 22:31 MYT
SELEPAS dilanda musim kemarau berpanjangan dan kebakaran hutan yang tiada reda, Australia kini berdepan pula dengan angin kencang, hujan lebat dan risiko banjir.
Keadaan cuaca melampau yang melanda daerah pantai timur Australia ini turut menyebabkan air terjun menjadi 'terbalik' akibat angin kencang yang melanda Kurnell, Sydney pada Ahad.
Air terjun yang lazimnya mengalir ke bawah, kini dilihat seolah mengalir ke atas tebing sungai akibat tiupan angin yang begitu kencang.
Perkhidmatan Kecemasan Negeri telah menerima panggilan dari lebih 2,200 penduduk setempat yang memerlukan bantuan sejak keadaan cuaca ini melanda pada Rabu.
Penduduk tempatan juga diberi amaran agar tidak pergi ke laut untuk meluncur kerana dikhuatiri banjir akan berlaku.
Namun, media tempatan melaporkan masih ada yang berani melakukan aktiviti itu.
Kejadian air pasang akibat hujan lebat sehingga boleh menyebabkan hakisan di sepanjang laluan pantai juga dijangka akan berlaku.