Air India beli hampir 500 pesawat Airbus, Boeing
Bernama
Februari 15, 2023 12:46 MYT
Februari 15, 2023 12:46 MYT
NEW DELHI: Pemimpin Barat menyambut baik perjanjian mengenai pembelian 470 pesawat penumpang Air India dari Airbus dan Boeing pada Selasa.
Air India akan membeli sebanyak 190 Boeing 737 Max, 20 pesawat Boeing 787-9 Dreamliners dan 10 pesawat Boeing 777-9.
Perjanjian Boeing itu termasuk pembelian untuk 50 lagi pesawat 737 serta tambahan 20 buah pesawat 787, menurut satu kenyataan Boeing.
Airbus mengumumkan bahawa Air India telah bersetuju untuk membeli 250 pesawat.
Tempahan itu termasuk 140 pesawat A320neo dan 70 buah pesawat A321neo serta 34 pesawat A350-1000 dan enam jet A350-900.
Syarikat penerbangan yang sebelum ini milik kerajaan itu kini dimiliki oleh konglomerat India Tata Group sejak Januari tahun lepas.
Menurut Air India perjanjian dengan pembuat pesawat Eropah dan Amerika itu akan memacu perkembangan operasi syarikat untuk perkhidmatan domestik dan antarabangsa.
"...Usaha itu juga akan menyediakan peluang kerjaya untuk profesional penerbangan India dan memangkinkan pembangunan pesat ekosistem penerbangan India.
"Air India sedang dalam perjalanan transformasi besar merentasi keselamatan, perkhidmatan pelanggan, teknologi, kejuruteraan, rangkaian dan sumber manusia," kata Pengerusi Air India dan Tata Sons N. Chandrasekaran dalam satu kenyataan.
Sebelum kerajaan India menjualnya kepada Tata, syarikat penerbangan itu mengalami kerugian dan sering menerima kritikan kerana kualiti perkhidmatannya.
Perjanjian bernilai lebih AS$70 bilion itu disambut baik oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden, Perdana Menteri Britain Rishi Sunak dan Presiden Perancis Emmanuel Macron kerana berpotensi untuk meningkatkan hubungan perniagaan dengan India.
"Perjanjian itu adalah bukti hubungan yang semakin erat antara India dan Perancis...," kata Perdana Menteri India Narendra Modi dalam satu mesyuarat menerusi video dengan presiden Perancis.
Macron berkata: "kontrak itu menandakan fasa baharu untuk India dan perkongsian strategik bagi Perancis."
Menurut kenyataan media kerajaan Britain sebahagian besar proses pembuatan pesawat baharu itu dijangka dibuat di United Kingdom (UK) dan akan mewujudkan ratusan pekerjaan baharu.
"Perjanjian penting antara Air India, Airbus dan Rolls-Royce ini menunjukkan bahawa tiada had bagi sektor aeroangkasa UK untuk terus berkembang maju," kata Sunak.
-- BERNAMA