Ahok dibenar bercuti mulai 28 Okt untuk berkempen

Bernama
Oktober 20, 2016 11:06 MYT
Cuti itu bertujuan membolehkan Ahok memberi fokus berkempen untuk mempertahankan jawatannya pada Pilihan Raya Ketua Daerah (Pilkada) . - "AFP PHOTO / RUSMAN / PRESIDENTIAL PALACE"
Gabenor Daerah Khusus Ibukota (DKI) Jakarta Basuki Tjahaja Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok dibenarkan bercuti tanpa gaji selama hampir empat bulan mulai 28 Okt ini.
Cuti itu bertujuan membolehkan Ahok memberi fokus berkempen untuk mempertahankan jawatannya pada Pilihan Raya Ketua Daerah (Pilkada) yang berlangsung pada 15 Feb 2017.
Media atas talian memetik Ketua Suruhanjaya Pemilihan Umum (KPU) Provinsi DKI Jakarta, Sumarno sebagai berkata, pihaknya telah menerima surat kebenaran cuti kepada Ahok itu dari Kementerian Dalam Negeri.
Katanya, dalam surat berkenaan dinyatakan bahawa kebenaran bercuti kepada Ahok, akan berkuat kuasa mulai 28 Okt 2016 hingga 12 Feb 2017.
Basuki Tjahaja Purnama dan timbalannya Djarot Saiful Hidayat akan mempertahankan jawatan masing-masing dan mendapat sokongan parti PDI Perjuangan, Parti Golkar, Parti Hanura dan Parti Nasdem.
Mereka dicabar oleh dua pasangan lain iaitu Agus Harimurti Yudhoyono-Sylviana Murni yang diusung koalisi Parti Demokrat, Parti Kebangkitan Bangsa, Parti Persatuan Pembangunan dan Parti Amanat Nasional manakala pasangan Anies Baswedan-Sandiaga Uno pula diusung Parti Gerindra dan Parti Keadilan Sejahtera.
Kesemua calon pilihan raya itu telah melepasi proses penamaan calon pada 23 Sept lepas dan mereka akan diberikan nombor urutan calon pada 24 Okt ini.
KPU telah menetapkan tempoh berkempen selama hampir empat bulan iaitu mulai 28 Okt ini sehingga 11 Feb 2017 manakala tempoh bertenang ialah pada 12 hingga 14 Feb 2017.
Lebih 7 juta rakyat layak untuk memilih Gabenor yang juga ketua eksekutif bagi DKI Jakarta. Hari mengundi ditetapkan pada 15 Feb 2017 manakala tempoh pengiraan undi selama 10 hari bermula 16 Feb 2017. -- Bernama
#ahok #basuki tjahaja purnama #Gabenor Daerah Khusus Ibukota #Tjahaja Purnama
;