Ahok angkat sumpah jawatan Gabenor Jakarta baharu

Fuad Misbah
November 19, 2014 20:12 MYT
Pemangku Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama (Ahok) kini rasmi dilantik menjadi Gabenor Jakarta yang baharu oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo. Foto AFP/Cahyo Sasmito
Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) telah melantik Basuki Tjahaja Purnama (Ahok) sebagai Gabenor Jakarta yang baharu hari ini di Istana Negara, Jakarta, Indonesia.
Mantan ketua daerah Belitung Timur dengan berpakaian seragam rasmi telah mengangkat sumpah di hadapan Jokowi awal petang tadi.
Ahok sebelum ini merupakan Timbalan Gabenor Jakarta telah mengisi kekosongan kerusi Gabenor yang sebelum ini dijawat oleh Jokowi sebelum terpilih untuk menjadi Presiden ketujuh Republik tersebut.
Majlis perlantikan Gabenor Jakarta yang ke-16 itu dihadiri oleh beberapa menteri di dalam 'Kabinet Kerja' Jokowi seperti Menteri Pengangkutan, Ignasius Jonan, Menteri Koordinator Ekonomi, Sofjan Djalil, Menteri Perundangan dan Hak Asasi Manusia, Yasonna H. Laoly dan Menteri Sumber Manusia, Muhammad Hanif Dhakiri seperti yang dilaporkan oleh portal Jakarta Post.
Turut hadir adalah mantan Presiden Indonesia, Megawati Soekarnoputri yang juga merupakan Ketua Umum Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P).
Beliau merupakan Gabenor Jakarta pertama yang berketurunan Cina dan adalah pasangan gandingan Jokowi di dalam pilihan raya Gabenor Jakarta pada 2012.
Pasangan tersebut telah memenangi pilihan raya tersebut dan beliau dilantik menjadi Timbalan Gabenor Jakarta 2012-2017.
#ahok #basuki tjahaja purnama #Gabenor Jakarta #Jokowi #lantik
;