Ahli silap mata sudah 'kerat' tubuh orang selama 100 tahun
Agensi
Januari 17, 2021 12:17 MYT
Januari 17, 2021 12:17 MYT
LONDON: DIA datang, dia menggergaji, dia memegunkan semua orang!
Seratus tahun dahulu, pada hari Ahad, pakar ilusi P.T. Selbit membaringkan seorang wanita di dalam sebuah kotak di atas pentas di Finsbury Park Empire, London.
Dia menggergaji kotak kayu itu lantas terbelah dua... sekali gus mengejutkan orang ramai dengan sebuah aksi magis yang klasik.
Kini, 100 tahun kemudian, ahli silap mata dari seluruh dunia berhimpun pada hujung minggu (Ahad) secara dalam talian untuk meraikan ulang tahun persembahan ikonik itu, lapor Reuters.
"Aksi ini telah menjadi ilusi mata yang paling berpengaruh dan terkenal pernah dilakukan, dalam pendapat saya.
"Ahli magis itu tidak melakukan perbuatan itu ke atas objek yang tak bernyawa. Dia meakukannya ke atas manusia, seterusnya menjadikan muslihat itu ke suatu tahap lebih tinggi," ujar ahli silap mata dan sejarawan Mike Caveney, yang kini menulis buku mengenainya.
Dalam versi asal, gergaji itu menembusi dan membelah kotak tersebut, dua belah bahagian kotak itu kemudian dipisahkan, manakala orang yang berbaring di dalam kotak itu tidak cedera.
Sepanjang zaman berlalu, generasi ahli silap mata baharu memperkemas persembahan berkenaan, dengan dua belah kotak itu benar-benar dijarakkan sementara kepala dan hujung kaki orang yang telah 'dikerat' itu masih bergerak tanpa tanda dia 'terseksa'.
Ahli magis selebrti 90-an, David Copperfield, membuat aksi itu mengikut caranya tersendiri. Aksi yang diberi nama The Death Saw (Gergaji Maut) memukau penonton apabila dia sendiri yang berada di dalam kotak sambil kaki dan tangannya terkunci. Kemudian sebuah mesin pemotong dengan bilah gergaji automatik 'memotong' kotak dan tubuhnya itu kepada dua bahagian.
Adakalanya dia sendiri tercedera, ujar Copperfield dalam satu temu bual khas sempena majlis keraian 100 tahun itu.
"Saya pernah dapat luka-luka akibat terkena bilah gergaji itu kerana kedudukannya sedikit 'lari' daripada yang dijangka. Anda tahulah, setiap pentas di panggung persembahan berbeza," ujar Copperfield.
Organisasi Magic Circle yang berpangkalan di London akan menjadi tuan rumah sambutan 100 tahun itu untuk peminat yang menyaksikan secara penstriman langsung di Facebook.
Antara tetamu acara ialah Debbie McGee, isteri kepada mendiang Paul Daniels, iaitu ahli silap mata yang sering muncul di televisyen Britain.
McGee sedia berkongsi pengalaman tentang dirinya yang sudah banyak kali 'dikerat-kerat'.
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#ahli silap mata
#aksi ngeri
#gergaji tubuh
#pakar ilusi
#ahli mais
#shm
#weekender
#persembahan magis
#David Copperfield
#P T Selbit