Ahli sains China bangunkan model baharu AI bagi ramalan siklon
Bernama
Februari 4, 2025 04:45 MYT
Februari 4, 2025 04:45 MYT
BEIJING: Sekumpulan ahli sains China telah membangunkan kaedah kecerdasan buatan (AI) baharu bagi meramalkan peningkatan pesat intensifikasi siklon tropika, sekali gus menawarkan pandangan baharu dalam meningkatkan kesiapsiagaan global terhadap bencana, lapor Xinhua.
Baru-baru ini, penyelidik dari Institut Oseanologi di Akademi Sains China menerbitkan kajian mereka dalam jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences.
Peningkatan pesat intensifikasi siklon tropika merujuk kepada lonjakan ketara dalam kekuatan ribut dalam tempoh singkat, yang kekal sebagai satu daripada fenomena cuaca paling sukar untuk diramalkan berikutan sifatnya yang tidak menentu dan merosakkan.
Menurut kajian itu, kaedah ramalan tradisional seperti ramalan cuaca berangka dan pendekatan statistik sering gagal mengambil kira faktor persekitaran dan struktur yang kompleks yang mendorong peningkatan pesat intensifikasi ribut.
Walaupun AI telah diterokai untuk meningkatkan ketepatan ramalan, kebanyakan teknik AI menghadapi masalah kadar amaran palsu yang tinggi dan kebolehpercayaan yang terhad.
Bagi menangani cabaran ini, penyelidik membangunkan model AI baharu yang mengintegrasikan data satelit, atmosfera dan lautan.
Apabila diuji menggunakan data siklon tropika di Barat Laut Pasifik antara 2020 dan 2021, kaedah ini mencatatkan ketepatan 92.3 peratus dan mengurangkan kadar amaran palsu kepada 8.9 peratus.
Kaedah baharu ini meningkatkan ketepatan hampir 12 peratus berbanding teknik sedia ada serta mengurangkan kadar amaran palsu sebanyak tiga kali ganda, menandakan kemajuan ketara dalam ramalan, menurut kajian itu.
"Kajian ini menangani cabaran ketepatan rendah dan kadar amaran palsu yang tinggi dalam peramalan peningkatan pesat intensifikasi taufan," kata Li Xiaofeng, pengarang penyelidikan itu.
"Kaedah kami meningkatkan pemahaman mengenai fenomena ekstrem ini dan menyokong usaha memperkukuh langkah perlindungan terhadap kesannya yang dahsyat," katanya. - BERNAMA