Ahli perniagaan Malaysia terlibat kes rasuah kapal tentera laut AS lari tahanan rumah
Agensi
September 6, 2022 12:05 MYT
September 6, 2022 12:05 MYT
SEORANG ahli perniagaan Malaysia yang terlibat dengan skandal rasuah besar Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) telah melarikan diri dari tahanan rumah menjelang keputusan mahkamah untuk memotong gelang kaki pemantauannya, lapor San Diego Union-Tribune pada Isnin.
Leonard Glenn Francis, lebih dikenali sebagai ‘Fat Leonard’, melarikan diri dengan memotong gelang kaki GPSnya pada Ahad tanpa kebenaran dan pihak polis turut mendapati rumahnya telah dikosongkan, laporan memetik Timbalan Penyelia Marsyal AS Omar Castillo.
Francis didakwa apabila memberikan wang tunai kepada pegawai Tentera Laut, makanan gourmet, cerut mahal, arak mewah dan pesta seks liar di hotel mewah, sebagai ganjaran pertukaran kontrak.
Penguatkuasaan undang-undang tempatan dan Perkhidmatan Penyiasatan Jenayah Tentera Laut AS sedang menggiatkan usaha memburu Francis.
Jiran Francis melaporkan mereka ternampak trak bergerak masuk dan keluar dari rumahnya sejak beberapa hari lalu.
Leonard, yang telah bekerjasama dengan penyiasat Amerika, dibebaskan dengan cuti perubatan dan telah berada di bawah tahanan rumah dan sepatutnya dijatuhkan hukuman pada 22 September.
Pada 2015, Leonard mengaku bersalah merasuah pegawai Tentera Laut sebagai sebahagian daripada skim rasuah dan penipuan meluas yang melibatkan syarikatnya Glenn Defence Marine Asia yang berpangkalan di Singapura, yang memberi perkhidmatan kepada kapal di Armada Pasifik Tentera Laut.
Jabatan Kehakiman Amerika menggelar skim itu sebagai penipuan besar melibatkan puluhan juta dolar yang merugikan Tentera Laut AS sekali gus melibatkan pertuduhan terhadap lebih 30 orang.
Kebanyakannya mengaku bersalah atau disabitkan kesalahan ketika perbicaraan.