Ahli perniagaan dipenjara 1,155 tahun
Sinar Harian
Julai 4, 2023 09:20 MYT
Julai 4, 2023 09:20 MYT
BANGKOK: Mahkamah Jenayah Thailand pada Isnin menjatuhkan hukuman keseluruhan 1,155 tahun penjara ke atas seorang ahli perniagaan kerana mendalangi skim pelaburan yang tidak wujud.
Prasit Jeowkok, 52, turut diarah membayar ganti rugi 1 bilion baht (RM132 juta) kepada semua mangsanya.
Lapor Bangkok Post, Prasit dan dua lagi defendan memujuk orang ramai supaya melabur dalam perniagaan yang menjanjikan pulangan lumayan.
Kesemua mereka aktif menipu mangsa di dalam talian sekitar 2020 dan 2021.
Hukuman ke atas Prasit diputuskan selepas dia disabit bersalah terhadap kesemua 321 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Bagaimanapun, berdasarkan had hukuman, Prasit sekadar perlu meringkuk selama 20 tahun di dalam penjara.
Ahli perniagaan itu menyerah diri pada Mei 2021 dan ditahan di Penjara Bang Kwang, Nonthaburi.
Dia pernah cuba melarikan diri semasa dihadapkan ke Mahkamah Jenayah pada Disember lalu. - Sinar Harian