Ahli Parlimen Korea Selatan sebulat suara undi batalkan undang-undang tentera

Bernama
Disember 3, 2024 05:15 MYT
Parlimen Korea Selatan pada Rabu meluluskan usul menuntut Presiden Yoon Suk Yeol membatalkan pengisytiharan undang-undang tentera. - Gambar Reuters
SEOUL: Parlimen Korea Selatan pada Rabu meluluskan usul menuntut Presiden Yoon Suk Yeol membatalkan pengisytiharan undang-undang tentera, lapor agensi berita Yonhap.
Di bawah Perlembagaan, undang-undang tentera mesti dibatalkan apabila majoriti Ahli Parlimen menuntutnya.
Daripada 300 Ahli Parlimen, 190 hadir dalam sesi itu dan kesemuanya menyokong usul untuk menamatkan undang-undang tentera.
Dengan kelulusan usul itu, pengisytiharan undang-undang tentera kini terbatal, menurut pejabat Speaker Parlimen.
Dalam satu pengumuman mengejut menerusi siaran langsung televisyen pada lewat Selasa malam, Yoon mengisytiharkan undang-undang tentera, dengan menuduh pembangkang melumpuhkan kerajaan melalui "aktiviti anti-negara yang merancang pemberontakan."
Yoon berkata, keputusan untuk mengisytiharkan undang-undang tentera itu bertujuan untuk "membina semula dan melindungi" negara yang didakwanya sedang menghadapi cabaran besar.
Pengisytiharan itu membolehkan sekatan terhadap kebebasan tertentu, termasuk kebebasan akhbar, penerbitan, perhimpunan, serta kuasa kerajaan dan mahkamah.
Namun, undang-undang tentera boleh ditamatkan jika majoriti Ahli Parlimen menuntut pembatalannya.
- BERNAMA
#Korea Selatan #Ahli Parlimen Korea Selatan #undang-undang tentera #Presiden Yoon Suk Yeol
;