Ahli Parlimen Iran mahu tindak balas besar terhadap Israel

Astro Awani
Oktober 31, 2024 08:10 MYT
Israel melancarkan serangan udara ke atas pangkalan tentera di barat dan barat daya Tehran awal pagi Sabtu, menyebabkan sekurang-kurangnya empat tentera terbunuh. - Foto AP
TEHRAN: Ahli Parlimen Iran pada Rabu memberi amaran bahawa serangan terkini Israel terhadap republik Islam itu memerlukan tindak balas yang besar.
Menurut agensi berita tempatan Iran, Israel melancarkan serangan udara ke atas pangkalan tentera di barat dan barat daya Tehran awal pagi Sabtu, menyebabkan sekurang-kurangnya empat tentera terbunuh.
Serangan Israel itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap serangan peluru berpandu Iran ke atas Israel pada 1 Oktober, susulan pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh yang disokong Iran dan seorang komander pengawal revolusi.
Dalam pada itu, Menteri Luar Iran, Seyyed Abbas Araghchi bertegas, Iran berhak untuk bertindak balas terhadap serangan Israel hujung minggu lalu tetapi tidak akan bertindak tergesa-gesa.
Dalam satu mesyuarat bersama duta asing dan ketua misi diplomatik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta organisasi antarabangsa di Tehran, Araghchi berkata, Iran berjaya mengawal serangan Israel dan membuktikan kemampuannya untuk melindungi keselamatan negara, namun Israel mesti bertanggungjawab atas apa yang telah dilakukannya.
Pasukan pertahanan Israel mengumumkan awal pagi Sabtu bahawa ia telah melakukan serangan udara yang "tepat dan terancang" ke atas sasaran di Iran sebagai tindak balas terhadap serangan terbaharu dari negara itu.
Markas pertahanan udara Iran berkata, ia berjaya menangkis serangan Israel, yang hanya menyebabkan "kerosakan terhad."
#Iran #tindak balas #serangan #Israel
;