Ahli Lembaga Pengarah Intel letak jawatan kerana berbeza pendapat dengan CEO

Agensi
Ogos 28, 2024 10:30 MYT
Lip-Bu Tan meletakkan jawatannya pada Selasa selepas difahamkan berlaku perbezaan pendapat antara beliau dengan Ketua Pegawai Eksekutif, Pat Gelsinger dan Ahli Lembaga Pengarah yang lain.
SAN FRANCISCO: Seorang Ahli Lembaga Pengarah Intel, Lip-Bu Tan, secara tiba-tiba meletakkan jawatannya pada Selasa.
Keputusan ini dibuat selepas berlaku perbezaan pendapat dengan Ketua Pegawai Eksekutif, Pat Gelsinger, dan Ahli Lembaga Pengarah yang lain.
Menurut sumber, Tan tidak bersetuju dengan saiz tenaga kerja yang dianggap terlalu besar, pendekatan Intel terhadap pembuatan kontrak, budaya syarikat yang terlalu berhati-hati dan birokratik, serta strategi kecerdasan buatan (AI) yang ketinggalan.
Walau bagaimanapun, Tan menyatakan bahawa beliau meletakkan jawatan atas keputusan peribadi untuk "menyusun semula komitmen."
Beliau juga menegaskan tetap "menyokong syarikat serta kerja-kerja penting yang mereka lakukan."
Tan, yang merupakan bekas CEO syarikat perisian cip, Cadence Design menyertai Lembaga Pengarah Intel dua tahun lalu sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengembalikan Intel sebagai peneraju global dalam pembuatan cip.
Pada Oktober 2023, Lembaga Pengarah telah memperluaskan tanggungjawab Tan dengan memberinya mandat untuk mengawasi operasi pembuatan.
"Pengunduran veteran industri semikonduktor yang dihormati oleh pelabur ini menunjukkan ketidakpastian dalam usaha Intel untuk memulihkan syarikat," jelasnya dalam satu kenyataan.
Intel pada ketika ini sedang terlibat dalam persaingan besar yang memerlukan perbelanjaan wang yang banyak, selain menghadapi kesukaran mencapai sasaran diharapkan.
#Intel #ahli lembaga pengarah #letak jawatan #Lip-Bu Tan letak jawatan