Ahli akademik mohon maaf bantu perlombongan data Facebook
Azyyati Ahmad
April 23, 2018 23:02 MYT
April 23, 2018 23:02 MYT
AHLI akademik dan juga seorang profesor bidang psikologi, Aleksandr Kogan yang diupah oleh Cambridge Analytica bagi menjana maklumat dari jutaan profil Facebook, menyuarakan rasa kesal ke atas peranannya dalam perlombongan data itu yang berlaku pada tahun 2014.
Dalam satu wawancara eksklusif ’60 minutes’ CBS News pada Ahad, Kogan, 28 mengakui tahu bagaimana maklumat itu digunakan tetapi tidak pernah mendengar apa-apa bantahan mengenainya daripada Facebook.
Firma data politik, Cambridge Analytica dalam diam mendapat akses kepada data peribadi yang diambil dari 87 juta pengguna Facebook.
Malah Facebook dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mark Zuckerberg kehilangan AS$10 bilion dalam pasaran susulan kes kebocoran data peribadi pengguna Facebook.
“Jika saya tahu apa yang akan kami lakukan akan menghancurkan hubungan saya dengan Facebook, saya tidak akan lakukannya.
"Pada masa itu, kami fikir ia satu perbuatan yang tidak salah. Ketika itu kami fikir – semua orang tahu dan tiada yang ambil peduli – ternyata satu anggapan yang salah, untuk itu saya memohon maaf,” katanya dalam wawancara berkenaan.
Kogan berada di tengah-tengah kontroversi Facebook kerana dia individu yang bertanggungjawab membangunkan aplikasi melombong data dari puluhan juta pengguna Facebook.
Facebook juga mendakwa Kogan merupakan dalang dalam kes berkenaan kerana bertindak mencuri data peribadi pengguna kemudian menjualnya.
Ketika ini kedua-dua syarikat iaitu Facebook dan Cambridge Analytica sedang dikawal ketat dan kini bersatu menyalahkan Kogan.