Ahed Tamimi hiasi muka depan Vogue Arabia
Sinar Harian
Oktober 8, 2018 07:23 MYT
Oktober 8, 2018 07:23 MYT
Ikon remaja Palestin, Ahed Tamimi yang semakin dikenali atas keberaniannya, menghiasi muka depan majalah Vogue Arabia keluaran Oktober.
Ahed yang menjalani hukuman penjara lapan bulan kerana memukul tentera Israel diangkat sebagai srikandi oleh penduduk Palestin.
"Sejak saya dibebaskan pada 29 Julai lalu, saya telah menjadi jurucakap Palestin. Ia bukan tanggungjawab yang mudah.
"Orang ramai sering bertanya dari mana saya dapat kekuatan untuk menentang penindasan Israel. Pengalaman berdepan situasi itu menjadikan saya kuat," katanya menerusi artikel diterbitkan majalah tersebut.
Jelasnya, dia telah terlibat dengan protes dan konfrontasi bersama tentera rejim Zionis sejak usia kanak-kanak lagi.
"Ramai yang mengkritik, tetapi kenapa tidak kecam tentera yang menunjukkan 'kuasa' mereka di hadapan budak.
"Di bawah kepungan Israel, segalanya jenayah. Masyarakat sepatutnya tidak menuding jari menyalahkan kami kerana sekatan haram ke atas wilayah kami adalah tindakan yang salah," ujarnya.
Menurut gadis itu lagi, dia mahu menyambung pengajian dalam bidang undang-undang untuk memperjuangkan nasib Palestin di peringkat global.
"Ramai bertanya tentang bagaimana kehidupan di dalam penjara. Saya tidak mahu lagi bercakap tentangnya kerana saya mahu melupakannya," katanya. - Agensi
#Ahed Tamimi
#ikon remaja
#Israel
#jurucakap
#majalah
#Palestin
#penjara
#pukul
#tentera
#Vogue
#Vogue Arabia