Agong yakin kerjasama Malaysia-Jerman berkembang secara progresif

Fareez Azman
Februari 17, 2023 22:22 MYT
Yang di-Pertuan Agong bertitah, hubungan erat Malaysia dan Jerman boleh dikembangkan dalam pelbagai sektor bagi memberi manfaat kedua-dua negara. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan keyakinan kerjasama antara Malaysia dan Jerman akan berkembang secara progresif selepas ini.
Titah baginda, hubungan erat Malaysia dan Jerman boleh dikembangkan dalam pelbagai sektor bagi memberi manfaat kedua-dua negara.
"Hakikatnya Malaysia dan Jerman telah menjalani hubungan yang menguntungkan selama 66 tahun sejak hubungan diplomatik ini dijalinkan
"Dari sudut ekonomi hubungan perdagangan antara negara sentiasa utuh atas sokongan kedua-dua negara.
"Jerman rakan dagang terbesar Malaysia dalam Kesatuan Eropah, Jerman sumber import kedua Malaysia... Malaysia destinasi import kedua terbesar di Jerman.
"Berlandaskan hubungan ni, beta yakin hubungan Malaysia Jerman akan meningkat ke arah lebih progresif pada tahun akan datang," titah Baginda dalam Majlis Santapan Malam sempena lawatan negara Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier dan isteri Elke Büdenbender di Istana Negara pada Jumaat malam.
Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan isteri.
Titah baginda, Malaysia sentiasa menitikberatkan interaksi yang aktif dan hubungan positif dengan Jerman.
Malah baginda turut berharap lawatan Presiden Jerman itu akan membuka peluang dan ruang untuk kerjasama lebih erat diantara kedua-dua negara.
"Semoga kerjasama antara Malaysia dan Jerman akan tingkatkan potensi penuh dan sumbang kemakmuran serantau dan rakyat antara kedua-dua negara
"Malaysia turut jalin kerjasama dalam pelbagai sektor yang ketika ni dah berkembang secara progresif.
"Banyak projek-projek yang dibangunkan bersama antara Malaysia Jerman. Ini merangkumi (bidang) automotif, bioteknologi, farmasutikal, teknologi maklumat, pendidikan dan pelbagai bidang lain yang giat dilaksana," titah Al-Sultan Abdullah lagi.
#Malaysia #Jerman #Yang di-Pertuan Agong #Hubungan dua hala
;