Agong, Permaisuri berangkat ke London, hadiri pertabalan Raja Charles III

Astro Awani
Mei 3, 2023 19:07 MYT
Keberangkatan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah adalah atas persilaan Raja Charles III - Foto/Instagram Istana Negara
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat mengadakan lawatan khas ke London, Britain bermula hari ini bagi menghadiri Istiadat Pertabalan Raja Charles III.
Keberangkatan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah adalah atas persilaan Raja Charles III.
Ia bagi menghadiri Istiadat Pertabalan Pemerintah United Kingdom (UK) di Westminster Abbey pada Sabtu ini.
"Seri Paduka Baginda berdua juga berkenan untuk menghadiri Majlis Resepsi dihoskan oleh Raja Charles III di Istana Buckingham, London pada Jumaat ini (5 Mei).
"Lawatan khas itu amat signifikan dalam konteks menyatukan hubungan sedia ada dan akrab yang dikongsi antara Malaysia dan UK, terutamanya di antara institusi Diraja kedua-dua negara serta ikatan dalam Komanwel.
"Ianya turut menzahirkan kepentingan hubungan erat di antara kedua-dua negara bekerjasama dalam pelbagai bidang yang disokong di peringkat pemerintahan tertinggi negara," kata Istana Negara dalam satu kenyataan pada Rabu.
Istana Negara menambah, kunjungan hormat itu juga mencerminkan keakraban Seri Paduka Baginda dengan Raja Charles III.
Kedua-dua pemimpin telah menjalinkan persahabatan sejak lebih empat dekad bermula dengan bersukan polo bersama-sama ketika remaja di London dan dalam pelbagai peringkat kejohanan antarabangsa.
Kali terakhir Seri Paduka Baginda berdua berkenan berangkat ke Istana Buckingham ialah pada 12 Oktober 2022 sempena kunjungan hormat ke atas Raja Charles III.
Kunjungan hormat tersebut bersempena lawatan khas Seri Paduka berdua ke London dari 10 hingga 16 Oktober 2022.
#Istana Buckingham #Al Sultan Abdullah #Raja Permaisuri Agong #Raja Melayu
;