Agong harap hubungan Malaysia-Singapura terus berkembang maju
Bernama
Oktober 26, 2022 05:15 MYT
Oktober 26, 2022 05:15 MYT
SINGAPURA: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berharap hubungan antara Malaysia dan Singapura yang menyeluruh dan simbiotik akan terus berkembang maju dan memberikan manfaat kepada kepada kedua-dua negara dan rakyat.
Seri Paduka Baginda bertitah susulan itu, adalah penting untuk kedua-dua negara bekerjasama di tengah-tengah perubahan landskap geo-politik, geo-ekonomi dan geo-strategik sejagat.
"Begitu juga, selaku negara pengasas ASEAN, Malaysia dan Singapura seharusnya terus bekerjasama antara satu sama lain dan negara anggota ASEAN yang lain, juga dengan rakan pilihan bagi memastikan Asia Tenggara akan menjadi sebuah rantau yang aman, stabil dan makmur," titah Seri Paduka Baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian di bankuet negara berlangsung di The Istana di sini semalam, bersempena lawatan negara Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke republik ini.
Tunku Azizah turut berangkat ke bankuet negara, yang juga dihadiri Presiden Singapura Halimah Yacob dan suami Mohammed Abdullah Alhabshee.
Yang di-Pertuan Agong bertitah bahawa Malaysia dan Singapura berkongsi satu hubungan rapat buat sekian lama, berakar umbi dan menyeluruh yang kekuatan hubungan itu terus meningkat.
Al-Sultan Abdullah bertitah ini dapat disaksikan menerusi peningkatan dagangan Malaysia-Singapura kepada S$128 bilion pada 2021 biarpun berhadapan gangguan dan kekangan akibat pandemik COVID-19.
"Beta dimaklumkan bahawa dagangan kedua-kedua negara mungkin mencecah S$150 bilion pada 2022. Hubungan antara rakyat dengan rakyat adalah kukuh. Ramai rakyat Malaysia dan Singapura ada saudara-mara dan sahabat handai yang tinggal dan belajar di seberang tambak.
Lebih daripada 300,000 rakyat Malaysia berulang-alik setiap hari untuk bekerja di Singapura dan menyumbang kepada pembangunan Singapura. Begitu juga hubungan budaya dan warisan kedua-dua negara adalah kuat, titah Seri Paduka Baginda.
Seri Paduka Baginda berdua tiba di sini pada Selasa untuk lawatan negara yang akan berakhir Jumaat ini.
Lawatan ini mencerminkan hubungan dua hala yang erat antara Malaysia dan Singapura sejak 57 tahun lepas.
-- BERNAMA