Agnes Tirop: Pemegang rekod dunia ditemui mati di kediaman di Kenya

Astro Awani
Oktober 14, 2021 08:34 MYT
Titop ketika menyertai Kejohanan Olahraga Dunia di Doha pada 2019. - Foto Astro ARENA
PEMEGANG rekod dunia, Agnes Tirop, ditemui mati pada usia 25 tahun di kediamannya di Kenya.
Athletics Kenya mengeluarkan satu kenyataan malam tadi bagi mengesahkan berita sedih mengenai penemuan mayat Tirop di rumahnya di Iten, yang menjadi hab latihan kebanyakan atlet di negara itu.
Persatuan itu menambah mereka sedang berusaha untuk mendapatkan lebih perincian mengenai kematian Tirop.
"Kenya telah kehilangan seorang permata. Dia merupakan salah seorang atlet yang meningkat paling cepat di peringkat antarabangsa hasil aksi menariknya di atas balapan," tambah Athletics Kenya.
Diiktiraf sebagai antara pelari jarak jauh wanita terbaik dunia, Tirop meneruskan kecemerlangannya meraih tempat keempat dalam acara 5,000 Sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan memecahkan rekod dunia acara 10,000 meter dalam perlumbaan jalan raya di Jerman bulan lalu.
Selain daripada rekod dunia yang diciptanya di Herzogenaurach, di mana dia menamatkan perlumbaan dalam masa 30:01, Tirop juga memenangi dua pingat gangsa dalam Kejohanan Olahraga Dunia pada 2017 dan 2019.
Dia juga menenangi gelaran Merentas Desa Dunia pada 2015, sekali gus menjadi atlet wanita kedua termuda pernah memenangi acara itu.
World Athletics turut mengucapkan takziah atas pemergian atlet itu sambil menambah bahawa mereka "amat terkejut dan bersedih dengan kematian mengejut itu."
#Agnes Tirop #Sukan Olimpik Tokyo 2020 #pelari jarak jauh wanita #olahraga
;