Agihan vaksin tidak seimbang sukarkan pembendungan COVID-19 - WHO

Agensi
Julai 23, 2021 16:09 MYT
Dr Tedros Adhanom berkata, ini adalah waktu yang tepat untuk memastikan vaksin diedar secara cepat ke negara miskin, tatkala negara-negara kaya cuba merangsang ekonomi untuk berkembang. - Gambar fail/REUTERS
WASHINGTON: Ketidakseimbangan akses antara negara miskin dengan yang berpendapatan tinggi, terhadap vaksin memberi kesan yang berkekalan kepada pemulihan sosioekonomi negara-negara berpendapatan rendah.
Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam kenyataan bersama dengan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan Universiti Oxford memberitahu, di beberapa negara berpendapatan rendah dan sederhana, kurang daripada satu peratus populasi mereka diberikan vaksin.
Justeru katanya, ia menjadi penyebab utama jangkitan COVID-19 sukar untuk dibendung di dunia.
Beliau berpendapat, adalah penting bagi memastikan akses vaksin yang adil kepada setiap negara, termasuk perkongsian dos.
“Jika kadar vaksinasi sama rata, pengeluaran dan pembahagian dos vaksin yang mencukupi kepada negara berpendapatan rendah boleh menambah AS$38 bilion (RM 60 bilion) mengikut ramalan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2021,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.
Justeru kata Dr Tedros, ini adalah waktu yang tepat untuk memastikan vaksin diedar secara cepat ke negara miskin, tatkala negara-negara kaya cuba merangsang ekonomi untuk berkembang.
“WHO meminta menghapuskan halangan untuk meningkatkan pengeluaran vaksin dan mendapatkan sokongan pembiayaan sehingga dos diedarkan secara adil bagi pemulihan ekonomi,” jelasnya.
Oleh itu, katanya satu tindakan kolektif yang pantas diperlu bagi menangani isu yang semakin serius ini.
#WHO #UNDP #Oxford #COVID-19 #vaksin #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #Keluaran Dalam Negara Kasar #KDNK #AS #Tedros Adhanom
;