Agensi privasi Belanda denda Uber AS$324 juta pindah data peribadi pemandu ke AS

Bernama
Ogos 26, 2024 18:53 MYT
Uber telah memindahkan data peribadi pemandu teksi Eropah ke AS dan gagal melindungi data dengan sewajarnya berkenaan dengan pemindahan itu. - Gambar hiasan/Unsplash
ANKARA: Badan pemerhati perlindungan data Belanda pada Isnin mengenakan denda EUR290 juta (AS$324 juta) ke atas Uber kerana memindahkan data peribadi pemandu ke Amerika Syarikat (AS), lapor Agensi Anadolu (AA).
"Uber memindahkan data peribadi pemandu teksi Eropah ke AS dan gagal melindungi data dengan sewajarnya berkenaan dengan pemindahan ini," kata Pihak Berkuasa Perlindungan Data Belanda (DPA).
"Uber tidak memenuhi keperluan GDPR (Peraturan Perlindungan Data Umum) untuk memastikan tahap perlindungan kepada data berkenaan dengan pemindahan ke AS. Itu sangat serius," kata Pengerusi DPA Aleid Wolfsen.
Data yang dikumpul dan disimpan di perkhidmatan AS, termasuk butiran akaun dan lesen teksi, data lokasi, foto, butiran pembayaran, dokumen pengenalan diri, dan dalam beberapa kes, data jenayah dan perubatan pemandu, menurut badan pemerhati itu.
Untuk tempoh lebih dua tahun, Uber menghantar data itu ke ibu pejabatnya di AS, tanpa menggunakan alat pemindahan.
Siasatan dimulakan selepas aduan daripada lebih 170 pemandu teksi Perancis.
Ini adalah denda ketiga yang dikenakan oleh DPA Belanda ke atas Uber selepas EUR600,000 pada 2018 dan EUR10 juta pada 2023.
-- BERNAMA
#data peribadi #Uber #denda #agensi privasi belanda
;