Agensi pengiklanan mengaku Filipina guna imej pelancongan dari negara lain
Agensi
Julai 3, 2023 17:09 MYT
Julai 3, 2023 17:09 MYT
MANILA: Pejabat pelancongan Filipina menerima tamparan hebat apabila penyunting projek video bagi mempromosi negara kepulauan itu sebagai destinasi percutian, mendedahkan bahawa mereka telah menggunakan imej dari negara-negara lain.
AFP melaporkan, agensi pengiklanan DDB Philippines memohon maaf atas penggunaan imej yang ‘tidak berpatutan’, termasuk pemandangan teres sawah padi di Indonesia dan gumuk pasir dari Brazil.
Agensi berkenaan terlibat dalam penghasilan video kempen pelancongan ‘Love The Philippines' bernilai AS$900,000 yang dilancarkan pada 27 Jun lalu.
Kementerian Pelancongan negara itu sedang menyiasat perkara berkenaan pada Sabtu lepas, selain menarik balik tayangan video itu dari laman Facebooknya.
Semuanya bermula apabila blogger popular Filipina, Sass Rogando Sasot memuat naik di Facebook tentang beberapa imej dari luar negara yang dikenbal pasti dalam video berkenaan.
Selain Indonesia dan Brazil, difahamkan terdapat juga imej destinasi pelancongan dari Switzerland dan Emiriah Arab Bersatu.
Pihak DDB juga telah memohon maaf atas penggunaan stok visual dari negara luar itu, dan menyifatkannya sebagai insiden terlepas pandang.
Menteri Pelancongan Filipina Christina Frasco memberitahu media tenmpatan pada minggu lalu bahawa kempen penjenamaan baharu itu menelan belanja sejumlah AS$900,000.
Slogan baharu itu juga bagi menggantikan slogan sebelumnya iaitu ‘It's More Fun in the Philippines'.
Filipina seharusnya tiada masalah untuk mempromosi pelancongannya kerana negara itu kaya dengan tarikan seperti pantai berpasir putih dan lokasi menyelam skuba. Namun, rekod kedatangan pelancong dilihat tidak begitu memuaskan kerana kelemahan faktor infrastruktur dan perbelanjaan.