Agensi cuaca Korea Selatan keluar amaran salji tebal pada Sabtu

Bernama
Disember 17, 2022 17:06 MYT
Suhu di Seoul mencatatkan bacaan - 8.4 darjah Celcius pada waktu pagi. - Foto AP
SEOUL: Agensi cuaca Korea Selatan mengeluarkan amaran salji tebal di kawasan barat negara itu termasuk Incheon dan Daejeon pada Sabtu.
Setakat 7 pagi, kementerian dalam negeri meningkatkan tahap amaran bencana kepada "berjaga-jaga" iaitu ketiga tertinggi bagi sistem empat peringkat, lapor Agensi Berita Yonhap.
Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA) meramalkan salji setinggi lima hingga 15 sentimeter (cm) melanda bahagian barat wilayah Chungcheong Selatan termasuk Jeolla Utara dan Jeolla Selatan pada Sabtu.
Sementara itu, salji melebihi 20 cm dijangka melanda Pulau Jeju dan kawasan pantai di wilayah Jeolla Utara dan Jeolla Selatan.
Agensi itu turut mengeluarkan amaran salji tebal bagi wilayah Gwangju, Sejong, Chungcheong Selatan dan kawasan pergunungan Pulau Jeju.
Suhu di Seoul mencatatkan bacaan - 8.4 darjah Celcius pada waktu pagi, manakala Incheon - 7 Celcius, - 6 Celsius di Daejeon dan 0 Celsius di Busan.
-- BERNAMA
#salji tebal #Korea Selatan #cuaca buruk #amaran bencana
;