Agenda AWANI: Situasi meruncing di Asia Barat, apa solusi?
Astro Awani
November 8, 2017 18:39 MYT
November 8, 2017 18:39 MYT
Hingga saat ini, ada TIGA peristiwa berlaku dalam tempoh 24 jam di Arab Saudi baru-baru ini.
Pertama, peletakan jawatan Presiden Lubnan Saad Hariri di Riyadh.
Hariri bukan sahaja mengumumkan perletakan jawatannya di luar negara malah perkara itu dilaporkan langsung tidak diketahui barisan kepimpinan Lubnan yang lain.
Kedua, Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman memecat serta menahan beberapa individu atas dakwaan korupsi.
Mereka yang terlibat adalah pemimpin kanan dan orang berpengaruh yang terdiri daripada kalangan ahli keluarga kerabat Diraja dan juga ahli perniagaan Arab Saudi.
Ketiga, Arab Saudi berjaya mematahkan serangan misil ke atas Riyadh oleh kumpulan Houti-Yaman yang disokong Iran.
Dalam satu kenyataan kepada CNN, Menteri Luar Arab Saudi Adel bin Ahmed al-Jubeir menyifatkan serangan misil ke atas Riyadh itu adalah “an act of war” atau satu bentuk peperangan ke atas Arab Saudi oleh Iran.
Menurut penganalisis yang mengikuti rapat perkembangan politik di Asia Barat, Profesor Al-Fattah El Awaisi, dua peristiwa pertama berkait rapat dengan cubaan Arab Saudi dan juga Iran untuk mengukuhkan pengaruhnya sebagai kuasa terbesar di rantau itu.
“Ini kemuncak keseimbangan kuasa di antara Arab Saudi dan Iran. Ia juga mungkin memberi bayangan apakah yang bakal berlaku di Lubnan atau mungkin di Syria,” tambah Profesor Pelawat UUM itu lagi.
“Peristiwa di mana Putera Mohammed memecat beberapa orang kanan pula menunjukkan, pergolakan kuasa di dalam institusi keluarga Diraja Arab Saudi”.
Prof Al-Fattah turut memberi bayangan, siri kejadian terbaru ini bakal merumitkan lagi konfik Asia Barat.
“Ini jelas membawa kepada perang proksi yang bakal meletus di rantau itu walaupun hakikatnya adalah perang di antara Iran dan juga kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat”.
Bagaimanapun, Pensyarah Program Sains Politik UKM Abdul Muein Abadi mempunyai pandangan berbeza.
Menurut Muein, walaupun situasi ketika ini sangat membimbangkan namun masih ada jalan dalam mencari solusi ke atas konflik tersebut.
“Hanya seorang pemimpin yang perlu ke hadapan bagi mengelakkan peperangan meletus, iaitu Putera Mahkota Arab Saudi.”
“Selain Putera Mohammed, beberapa pemimpin sekutu Arab Saudi seperti UAE, Kuwait, Bahrain mahupun Erdogan dari Turki perlu bertindak segera.”
Tambah Muein lagi, pemimpin negara kuasa besar dunia seperti Presiden Putin dan Presiden Xi Jinping serta pemimpin dari negara-negara OIC juga boleh memainkan peranan.
“Kita tidak mahu satu lagi peperangan meletus di rantau itu”, tegas Muein.
#Adel Ahmad al-Jubeir
#Agenda Awani
#Al-Fattah El Awaisi
#Arab Saudi
#Bahrain
#Erdogan
#Houti-Yaman
#Iran
#Kuwait
#Mohamed Salman
#oic
#Presiden Lubnan
#putin
#Riyadh
#Saad Hariri
#serangan
#Turki
#UAE
#Xi Jinping