Afrika Selatan terima baik perintah mahkamah dunia ke atas kes genosid Israel
Bernama
Januari 27, 2024 11:20 MYT
Januari 27, 2024 11:20 MYT
JOHANNESBURG: Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa dan pegawai kanan kerajaan pada Jumaat menerima baik keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memerintahkan Israel supaya tidak melakukan pembunuhan beramai-ramai (genosid) dalam operasi ketenteraannya di Gaza.
"Ia merupakan penghakiman bermakna bagi semua yang mahu melihat keamanan di Palestin," lapor Agensi Anadolu (AA) memetik kenyataan Fikile Mbalula, setiausaha agung parti Kongres Nasional Afrika (ANC) yang memerintah, kepada pemberita.
Pegawai ANC yang menghadiri mesyuarat parti, termasuk Ramaphosa, menyaksikan siaran langsung keputusan ICJ itu.
Ketika mahkamah membuat keputusan sementara itu, Presiden Ramaphosa, para menteri dan ahli parti lain dilihat bergembira, lapor AA.
"Biar sejarah mencatat bahawa #Afrika Selatan memimpin masyarakat antarabangsa dalam perjuangan untuk memberi makna kepada "never again"....! Rakyat #Palestin juga mempunyai hak untuk hidup," menurut Clayson Monyela, jurucakap Jabatan Perhubungan Antarabangsa dan Kerjasama di X.
Pada 29 Dis, Afrika Selatan memfailkan saman di ICJ meminta injunksi terhadap Israel atas alasan bahawa serangan Israel ke atas Gaza melanggar Konvensyen Genosid.
Dalam keputusan sementara bagi kes pembunuhan beramai-ramai di The Hague pada Jumaat, ICJ mengarahkan Israel supaya mengambil "semua langkah dalam kuasanya" untuk mencegah tindakan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, namun tidak mengarahkan gencatan senjata.
Mahkamah juga memerintahkan Israel mengambil langkah segera dan berkesan untuk membolehkan penyediaan perkhidmatan asas dan bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan di Semenanjung Gaza.
-- BERNAMA