Afrika Selatan harap Trump lawat negara itu menjelang Sidang Kemuncak G20

Bernama
Februari 6, 2025 12:00 MYT
Cyril Ramaphosa tetap berhasrat mengalu-alukan kunjungan Trump dalam lawatan negara, sambil menambah bahawa mereka berharap kedua-dua pemimpin berpeluang bermain golf bersama. - Gambar/ AP
JOHANNESBURG: Afrika Selatan berharap Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump akan melawat negara itu tahun ini sempena Sidang Kemuncak G20 yang akan dihoskannya, lapor Agensi Anadolu (AA) memetik Jurucakap Presiden Vincent Magwenya pada sidang media, Rabu.
Afrika Selatan secara rasmi mengambil alih tugas sebagai Presiden Kumpulan 20 (G20) pada Disember, menjadikannya negara Afrika pertama mengetuai kumpulan ekonomi utama itu.
"Kami masih berharap Trump akan melawat Afrika Selatan menjelang Sidang Kemuncak G20 apabila senarai ketua negara dimuktamadkan," kata Magwenya kepada pemberita di Cape Town.
Beliau berkata Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa tetap berhasrat mengalu-alukan kunjungan Trump dalam lawatan negara, sambil menambah bahawa mereka berharap kedua-dua pemimpin berpeluang bermain golf bersama.
Lawatan itu, katanya, akan memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin membincangkan pelbagai kepentingan dua hala dan bersama.
"Kami cuba menggalakkan presiden (Ramaphosa) agar meluangkan lebih banyak masa memperbaiki hayunan golfnya supaya apabila beliau bermain dengan Presiden Trump, beliau dapat memberikan saingan yang baik," kata Magwenya.
Bagaimanapun, beliau tidak memberikan garis masa mengenai bila Ramaphosa akan bercakap dengan Trump, susulan ancaman pemimpin AS itu baru-baru ini untuk menggantung bantuan kepada Afrika Selatan berhubung dasar baharu negara itu mengenai pengambilan tanah.
Pada Ahad, Trump memberi amaran bahawa beliau akan memotong bantuan asing kepada Afrika Selatan, mendakwa di platform Truth Social bahawa "Afrika Selatan sedang merampas tanah dan melayan golongan tertentu dengan AMAT TERUK. Satu pelanggaran hak asasi manusia yang besar, sekurang-kurangnya, sedang berlaku untuk semua lihat."
Ramaphosa menafikan dakwaan itu dengan menegaskan bahawa Afrika Selatan "tidak merampas" tanah.
Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Negara AS Marco Rubio pada Rabu mengumumkan bahawa beliau tidak akan menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Johannesburg bulan ini, dengan alasan kebimbangannya terhadap dasar Afrika Selatan.
-- BERNAMA
#Donald Trump #Afrika Selatan #G20 #Cyril Ramaphosa
;