Afrika Selatan dakwa Israel: Terus bersolidariti, beri tekanan
Madiha Abdullah
Januari 8, 2024 06:30 MYT
Januari 8, 2024 06:30 MYT
KUALA LUMPUR: Tidak mustahil untuk Israel dihukum atas jenayah melakukan genosid terhadap Gaza.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid menjelaskan, langkah Afrika Selatan memfailkan kes di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap Israel adalah satu permulaan yang baik dan mampu membawa impak terutama jika ia turut menerima sokongan dan tekanan negara dan kuasa besar lain.
"Israel akan teruskan (serangan) sehingga kononnya betul mereka dapat tamatkan kehadiran Hamas tapi dalam masa yang sama di Amerika Syarikat, malah ada isyarat di negara barat, sudah ada pandangan yang berbeza.
"Mereka juga sudah faham apa yang berlaku di Gaza sudah keterlaluan, desakan gencatan senjata sudah kedengaran jadi tekanan yang dilakukan Afrika Selatan wajar dan tepat pada masanya," katanya.
Pendapat itu turut disuarakan Ketua Pasukan Peguam Penyiasat Yayasan MyAqsa, Prof Datuk Rahmat Mohamad, yang mahu tekanan turut diberi pada Ketua Pendakwaraya ICC, bagi meneruskan siasatan dan seterusnya meletakkan pertuduhan.
"Negara lain harus bersama dengan Afrika Selatan untuk buat intervensi sebab kita tahu, untuk mengetahui keputusan sama ada Israel lakukan genosid atau tidak, ia akan mengambil masa yang panjang.
"Kita mesti bekerjasama, bersolidariti untuk menekan Karim Khan, Ketua Pendakwaraya ICC, untuk meneruskan penyiasatan dan mendakwa kerana semua bukti sudah ada pada dia tetapi dia tak ambil apa-apa tindakan.
"Kita mesti tekan Karim Khan untuk mendakwa Netahnyahu dan pegawai-pegawainya yang lain. Secara politik, kita boleh mengusul kepada UNGA untuk terus ambil resolusi iaitu gencatan senjata ke atas Palestin ini boleh dilakukan dan saya pasti boleh berjaya," katanya.
Mereka berkata demikian ketika muncul sebagai tetamu dalam program Agenda AWANI, pada Isnin.
Tambah mereka, di pihak rakyat Malaysia, konsistensi dalam mempamerkan solidariti adalah penting selain meneruskan kempen berhubung isu kemanusiaan, keadilan dan kedaulatan di Gaza
Kes genosid di Gaza yang didakwa dilakukan oleh Israel akan dibentangkan oleh Afrika Selatan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), di The Hague minggu depan, iaitu pada 11 dan 12 Januari.
Afrika Selatan memulakan prosiding di ICJ bulan lalu memohon mahkamah antarabangsa itu menyiasat jenayah genosid yang didakwa dilakukan oleh Israel di Gaza, dan memutuskan segera bahawa Israel melanggar Konvensyen Genosid 1948.