Afrika Selatan akan hantar pulang pembunuh wira anti-aparteid Chris Hani ke Poland

Bernama
Disember 6, 2024 22:03 MYT
Pembunuhan yang dilakukan Janusz Walus pada April 1993 di Johannesburg itu dikatakan hampir mencetuskan perang saudara di Afrika Selatan. - AP
JOHANNESBURG: Pihak berkuasa Afrika Selatan pada Jumaat mengumumkan akan menghantar pulang Janusz Walus, 71, seorang pelampau kulit putih yang menjalani hukuman penjara tiga dekad atas pembunuhan pemimpin anti-aparteid Chris Hani pada 1993, lapor Agensi Anadolu (AA).
Walus, seorang imigran Poland yang memperoleh kerakyatan Afrika Selatan, menembak mati Hani di luar rumahnya di Boksburg, timur Johannesburg, pada April 1993.
Pembunuhan itu dikatakan hampir mencetuskan perang saudara di Afrika Selatan, hanya setahun selepas peralihan negara itu daripada sistem aparteid kepada pemerintahan demokrasi.
Menteri di Jabatan Presiden Khumbudzo Ntshavheni memaklumkan pada sidang media pada Jumaat yang Walus akan segera dihantar pulang ke Poland.
Dua tahun lalu, Mahkamah Perlembagaan mengarahkan pembebasan Walus dengan syarat parol.
Walus menjalani hukuman dua tahun di bawah program perkhidmatan masyarakat di Afrika Selatan yang selaras dengan peraturan parol.
Hani ialah pemimpin Parti Komunis Afrika Selatan, rakan rapat Kongres Kebangsaan Afrika, parti terbesar di negara itu.
Penyokong, keluarga dan parti Hani meluahkan kemarahan selepas mahkamah mengarahkan pembebasan Walus.
-- BERNAMA
#janusz walus #kes bunuh #chris hani #Afrika Selatan
;