Afghanistan yakin pertahan negara sendiri, tidak risau penarikan keluar tentera AS
Astro Awani
November 18, 2020 07:30 MYT
November 18, 2020 07:30 MYT
KABUL: Kementerian Pertahanan Afghanistan tidak bimbang dengan pelan Washington untuk menarik keluar lebih ramai tentera Amerika Syarikat (AS) dari negara itu.
Jelas pemangku menterinya, Asadullah Khalid, mereka bersedia untuk mempertahankan negara itu sendiri.
Beberapa pemerhati serta kepimpinan tentera AS khuatir bahawa penarikan keluar tentera secara tergesa-gesa dari Afghanistan dan Iraq akan mencetuskan ketidakstabilan di rantau itu.
Bagi rakyat Afghanistan pula, pengumuman itu menimbulkan pelbagai reaksi.
Ada yang bersetuju bahawa penarikan keluar tentera AS akan menjejaskan lagi ketidakstabilan negara itu, manakala ada yang berpandangan bahawa ia tidak akan membawa perubahan besar.
Mahasiswa, Sayed Mussa berpendapat ia akan menjadi kesengsaraan bagi rakyat Afghanistan serta kerajaan AS sekiranya mereka meninggalkan tenaga, keselamatan dan rakyat Afghanistan dalam masa yang kritikal ini.
“Ia tidak akan memanfaatkan AS kerana ini adalah keganasan antarabangsa dan ia mempunyai akar di semua negara serantau ini,” jelasnya.
Sementara itu, penduduk Kabul, Sanaullah Badakhshi menjelaskan, AS ke sana adalah berdasarkan persetujuan dan mereka mengalu-alukan penarikan keluar tentera berdasarkan persetujuan.
“Kami tidak melihat tentera AS berjaya membawa keselamatan dan kestabilan serta menghapuskan keganasan,” jelasnya.
Sebelum ini, pemangku Setiausaha Pertahanan Amerika, Christopher Miller mengumumkan pelan untuk mengurangkan jumlah tentera Amerika daripada 4,500 kepada 2,500.
#Iraq
#Washington
#keganasan
#tentera
#Kementerian Pertahanan Afghanistan
#Asadullah Khalid
#ketidakstabilan rantau
#penarikan keluar tentera AS