Afghanistan umum gencatan senjata sempena Aidil Adha

Astro Awani
Ogos 20, 2018 08:17 MYT
ASHRAF GHANI: Kami menyeru kepimpinan Taliban untuk menyambut baik keinginan rakyat Afghanistan untuk mencapai keamanan berpanjangan dan sebenar. - Gambar fail
Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani mengumumkan gencatan senjata terhadap pemberontak Taliban mulai Isnin, sempena sambutan Aidil Adha pada Rabu.
"Gencatan senjata bersyarat ini akan bermula esok dan akan diteruskan selagi puak Taliban kekal menghormatinya.
"Kami menyeru kepimpinan Taliban untuk menyambut baik keinginan rakyat Afghanistan untuk mencapai keamanan berpanjangan dan sebenar," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Kemerdekaan Afghanistan ke-99 pada Ahad.
Menurut seorang pegawai kanan di pejabat presiden, gencatan senjata bersyarat itu akan berlangsung selama tiga bulan, sehingga ulangtahun kelahiran Nabi Muhammad yang diraikan Afghanistan pada 21 Nov.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada pihak Taliban menerima permintaan beliau berhubung gencatan senjata itu.
Sumber Taliban dilaporkan berkata, pemimpin mereka juga bersetuju dengan gencatan senjata selama empat hari sempena Hari Raya Korban itu, tetapi pemimpin tertingginya Sheikh Haibatullah Akhunzada masih belum memberi kata putus.
Pada Jun lalu, Ashraf turut mengumumkan gencatan senjata sementara sempena Aidilfitri bermula 11 Jun, iaitu hari ke-27 Ramadan, hingga 15 Jun, hari kelima Syawal.
#Afghanistan #Aidil Adha #Ashraf Ghani #gencatan senjata #Kabul #keamanan #Taliban
;