Afghanistan siap sedia sambut Aidiladha meski berdepan cabaran ekonomi
Bernama
Jun 16, 2024 11:15 MYT
Jun 16, 2024 11:15 MYT
KABUL: Seperti umat Islam di seluruh dunia, rakyat Afghanistan bersiap sedia menyambut Aidiladha dengan mengorbankan haiwan dan mengagihkan daging kepada mereka yang memerlukan.
Menurut pengumuman pihak berkuasa pada malam Sabtu, Aidiladha akan disambut pada 17 Jun.
Bagaimanapun, kadar pengangguran dan kemiskinan yang tinggi telah mengurangkan kuasa beli rakyat Afghanistan secara drastik, menyukarkan mereka untuk melaksanakan ibadah korban.
"Saya merayau di pasar tetapi tidak dapat membeli seekor kambing kerana harganya yang tinggi. Dengan harga yang semakin meningkat, tiada siapa mampu membeli," kata Rahmatullah, seorang penduduk di ibu negara Afghanistan, Kabul.
Rahmatullah, 28, berusaha membeli seekor kambing untuk dikorbankan pada hari pertama Aidiladha.
"Dahulu, kami membeli seekor kambing pada harga 16,000 atau 17,000 afghani (kira-kira US$229 hingga US$243) tetapi tahun ini harganya telah mencecah 19,000 hingga 20,000 afghani.
"Keadaan ekonomi di Afghanistan semakin teruk. Rakyat sedang menghadapi kesukaran ekonomi akibat pengangguran dan ekonomi Afghanistan yang miskin," kata Rahmatullah.
Sementara itu, pembekal ternakan, Khan Mohammad turut menyuarakan kebimbangan terhadap permintaan yang rendah dan kadar pendapatan yang sedikit ekoran bilangan pelanggan tidak memenuhi jangkaannya.
Mohammad membeli 22 ekor lembu dari perkampungan untuk dijual di Kabul menjelang Aidiladha, tetapi permintaan terhadap haiwan ternakan itu adalah rendah.
"Saya membayar 70,000 afghani untuk setiap ekor lembu, tetapi pembeli hanya mahu membayar 60,000 hingga 65,000 afghani. Saya mengalami kerugian," kata Mohammad, 35, kepada Xinhua.
Pembekal ternakan itu mendakwa, dia hanya berjaya menjual lima ekor lembu sepanjang minggu lalu, sedangkan tahun lalu sebelum perayaan, dia menjual 10 hingga 12 ekor lembu setiap hari.
Menurut laporan agensi bantuan, rakyat Afghanistan sedang menghadapi kekurangan makanan yang kritikal dan amat memerlukan bantuan kemanusiaan.
Sekitar satu per empat daripada penduduk di Afghanistan tidur dalam keadaan berlapar setiap malam, menurut pejabat Program Makanan Sedunia di Afghanistan pada Jumaat. - BERNAMA