Afghanistan: Serangan pengebom bunuh diri, 12 anggota keselamatan terbunuh

Bernama
September 29, 2017 09:27 MYT
Jurucakap Taliban mengaku kumpulan itu bertanggungjawab ke atas serangan berkenaan sambil menegaskan jumlah korban melebihi dua dozen. - Gambar hiasan
Seramai 12 anggota keselamatan terbunuh selepas seorang pengebom bunuh diri menyerang sebuah jabatan polis di daerah Maroof di selatan Kandahar pada Khamis, lapor agensi berita China Xinhua.
"Pengebom bunuh diri yang berada dalam sebuah kereta meletupkan dirinya di jabatan polis berkenaan dan turut mencederakan empat lagi yang lain termasuk ketua polis daerah Nadir Khan," kata jurucakap polis Zia Durani kepada Xinhua.
Sementara itu, menurut seorang pegawai yang enggan dikenali, sejumlah 16 anggota keselamatan termasuk beberapa anggota polis terbunuh dalam serangan itu.
Jurucakap Taliban, Qari Yusuf Ahmadi mengaku kumpulan itu bertanggungjawab ke atas serangan berkenaan sambil menegaskan jumlah korban melebihi dua dozen.
-- BERNAMA
#anggota keselamatan #bunuh diri #Kandahar #pengebom #polis #Qari Yusuf Ahmadi #Taliban #Zia Durani
;