Afghanistan perlu raih semula penghormatan untuk membangun - Penganalisis

Irfan Faruqi
Disember 21, 2023 22:22 MYT
Herizal berkata tidak ada negara yang boleh bertahan dalam keadaan dipinggirkan tanpa kerjasama dengan negara asing. - foto/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Afghanistan perlu memecahkan persepsi negatif terhadap negaranya dan meraih semula penghormatan komuniti antarabangsa untuk membangun.
Penganalisis Ekonomi, Ekonomi dan Hubungan Antarabangsa, Herizal Hazri berkata, tidak ada negara yang boleh bertahan dalam keadaan dipinggirkan tanpa kerjasama dengan negara asing.
“Saya tidak percaya mana-mana negara boleh hidup dalam isolasi, itu ialah cara hidup kita di dunia ini. Kita perlu berkomunikasi, libat sama dan adakan hubungan antarabangsa.
“Menyentuh mengenai Afghanistan yang terpalit dengan persepsi yang kurang baik, menjadikannya sukar untuk dihormati diperingkat antarabangsa.
“Saya fikir Afghanistan perlu lakukan lebih banyak untuk meraih rasa hormat dari masyarakat dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Khamis.
Afghanistan perlu raih semula penghormatan untuk membangun - Penganalisis
Pada masa sama Herizal berpendirian aspek budaya dan penerimaan rakyat Afghanistan terhadap sistem pentadbiran semasa yang tidak berorientasikan demokrasi perlu dihormati.
Namun, beliau membangkitkan kebimbangan mengenai keupayaan Afghanistan untuk meraih sokongan dunia tanpa berganjak daripada prinsip yang tidak dikongsi oleh banyak negara di dunia.
Dalam reaksi kepada kenyataan tersebut, Menteri Kesihatan Awam Afghanistan, Dr. Qalandar Ibaad Jan berkata, dalam tempoh dua tahun pentadbiran Afghanistan, Kerajaan semasa berjaya menjalinkan kerjasama yang pelbagai dengan negara jiran.
“Sama seperti pengalaman saya mengadakan lawatan ke Eropah dan banyak negara Asia, saya kongsikan perkara-perkara yang diperlukan oleh Afghanistan dalam sektor kesihatan.
Dari segi latihan pembangunan bakat, kita sudah ada kerjasama dengan negara-negara jiran. Ratusan doktor kita sertai program pascasiswazah.
Kita berusaha sebaik mungkin untuk menyediakan perkhidmatan, perubatan dan peralatan yang terbaik dengan kerjasama antarabangsa,” jelasnya.
#Agenda Awani #Afghanistan #Taliban #kerjasama antarabangsa
;