Afghanistan memilih: Proses mengundi lancar, tiada gangguan Taliban
Agensi
April 6, 2014 11:05 MYT
April 6, 2014 11:05 MYT
Pilihan raya di Afghanistan berjalan dengan aman pada Sabtu, menyangkal ramalan ancaman Taliban yang dikatakan bakal menganggu proses pengundian dalam memilih pengganti Presiden Hamid Karzai.
Pengundi mula beratur seharian di luar 6,400 pusat mengundi sebelum proses pengiraan untuk keputusan tidak rasmi pada 24 April bermula.
Calon-calon yang memenangi pilihan raya kali ini bakal memimpin perjuangan menentang Taliban tanpa bantuan ketenteraan dari Amerika Syarikat dan perlu mengukuhkan ekonomi semasa yang bergantung kepada penurunan wang bantuan.
Afghanistan sebelum ini menjalani pemindahan kuasa demokratik pertama dan kebanyakan rakyatnya khuatir akan skandal penipuan berlaku semula seperti pilihan raya presiden pada tahun 2009.
Jika tiada calon yang menang lebih 50 peratus dalam pusingan pertama, pemilihan penentuan dijadualkan akhir bulan Mei.
Tiada sebarang serangan oleh militan dilaporkan semasa proses mengundi dan penganjur menganggap pilihan raya kali ini sebagai satu kejayaan besar, walaupun terdapat aduan mengenai kekurangan kertas undi yang telah menafikan hak beberapa rakyatnya untuk mengundi.
“Pilihan raya hari ini menyaksikan penyertaan besar-besaran rakyat Afghanistan dalam menuju beberapa langkah kepada keamanan, kestabilan dan pembangunan.
"Ini adalah satu usaha dari rakyat, pasukan keselamatan, dan semua pegawai yang mempunyai hak dalam pilihan raya" kata Karzai dalam ucapannya kepada negara.
Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama menyifatkan pilihan raya di Afghanistan kali ini sebagai undi kritikal yang bakal menjamin masa depan yang lebih demokratik dan mendapat sokongan terus antarabangsa.
Ketua pertubuhan NATO, Anders Fogh Rasmussen memuji semangat rakyat yang keluar mengundi dan kecemerlangan pasukan keselamatan Afghanistan .
"Ini benar-benar menjadi pilihan raya yang diketuai oleh rakyat, dijamin oleh rakyat dan untuk masa depan rakyat dan negara Afghanistan" katanya.
Sekitar 13.5 juta rakyat Afghanistan yang layak mengundi meletakkan anggaran jumlah kehadiran melebihi 50 peratus.
Ini merupakan peningkatan yang ketara berbanding hanya satu pertiga pengundi membuang undi pada tahun 2009.
Taliban telah mengancam untuk menyerang pusat mengundi, pengundi dan pasukan keselamatan, namun tiada serangan dilaporkan setakat hari ini.
Walaupun dilanda satu siri serangan maut semasa proses kempen pilihan raya, beratus-ratus orang dilihat tetap keluar mengundi walaupun hujan lebat dan diancam serangan pemberontak di Kabul.
"Saya tidak takut ancaman Taliban, kita akan mati satu hari juga. Saya mahu undian saya menjadi satu tamparan kepada Taliban" kata seorang suri rumah, Laila Neyazi , 48 kepada AFP.
Afghanistan telah mengambilalih tanggungjawab keselamatan dari tentera yang diketuai Amerika Syarikat.
Tahun ini merupakan tahun terakhir Afghanistan menerima bantuan 51,000 tentera kombat dari NATO dan bakal menghadapi ancaman Taliban tanpa bantuan kuasa-kuasa luar.
Pilihan raya presiden ketiga negara itu bakal menamatkan pemerintahan 13 tahun Karzai, yang telah berkuasa sejakTaliban telah disingkirkan pada tahun 2001.
Pilihan raya memberi peluang untuk Afghanistan memperbaiki semula hubungan dengan Amerika Syarikat.
Perhubungan merosot pada akhir tahun lepas apabila Karzai enggan menandatangani perjanjian keselamatan yang membolehkan Amerika mengekalkan kira-kira 10,000 tentera di Afghanistan untuk melatih pasukan tempatannya dan memburu Al -Qaeda.