Afghanistan ketika ini 100 peratus aman - Menteri Kesihatan Awam Afghanistan

Irfan Faruqi
Disember 21, 2023 22:28 MYT
Qalandar menyifatkan Afghanistan berada dalam keadaan 100 peratus aman dan bersedia untuk bangkit semula. - AP Photo/Ebrahim Noroozi
KUALA LUMPUR: Situasi di Afghanistan jauh lebih baik berbanding 20 tahun lalu yang menyaksikan ratusan orang maut akibat peperangan.
Menteri Kesihatan Awam Afghanistan, Dr. Qalandar Ibaad Jan menyifatkan Afghanistan berada dalam keadaan 100 peratus aman dan bersedia untuk bangkit semula.
“Sejak 20 tahun lalu, Afghanistan tidak pernah aman. Setiap hari ada pembunuhan dan peperangan yang meragut ratusan nyawa.
“Tetapi sejak dua tahun lalu, Afghanistan menikmati keamanan 100 peratus. Rakyat Afghanistan bersedia dan menyokong Kerajaan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Khamis.
Afghanistan ketika ini 100 peratus aman - Menteri Kesihatan Awam Afghanistan
Menurut Qalandar, dengan keamanan yang dicapai ini, Afghanistan berjaya melancarkan projek ekonomi berskala besar dengan kerjasama negara asing.
“Malahan, ada pelancaran projek ekonomi berskala besar di Afghanistan. Kita ada hubungan baik dengan komuniti antarabangsa.
“Semasa saya memulakan tugas di Kementerian Kesihatan, saya berinteraksi dengan masyarakat dunia untuk memulakan kembali kerjasama dalam bentuk sokongan dan dana untuk rakyat,” ujarnya.
Jelasnya lagi, Kerajaan semasa juga berjaya menjalinkan kerjasama yang pelbagai dengan negara jiran dalam aspek kesihatan iaitu untuk latihan dan pembangunan bakat.
“Sama seperti pengalaman saya mengadakan lawatan ke Eropah dan banyak negara Asia, saya kongsikan perkara-perkara yang diperlukan oleh Afghanistan dalam sektor kesihatan.
Dari segi latihan pembangunan bakat, kita sudah ada kerjasama dengan negara-negara jiran. Ratusan doktor kita sertai program pascasiswazah.
Kita berusaha sebaik mungkin untuk menyediakan perkhidmatan, perubatan dan peralatan yang terbaik dengan kerjasama antarabangsa,” jelasnya.
#Afghanistan #Taliban #keamanan #Qalandar Ibaad Jan
;