Adidas disaman pelabur berhubung perjanjian bersama Kanye West
Astro Awani
Mei 1, 2023 08:00 MYT
Mei 1, 2023 08:00 MYT
ADIDAS disaman oleh pelabur yang mendakwa syarikat itu mengetahui tentang tingkah laku bermasalah Kanye West bertahun-tahun sebelum ia menamatkan kerjasama mereka.
Pelabur mendakwa Adidas gagal mengehadkan kerugian kewangan dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk meminimumkan pendedahan mereka.
Gergasi pakaian sukan itu menamatkan kerjasamanya dengan pereka dan penyanyi rap yang dikenali sebagai Ye itu tahun lepas berikutan komen antisemitik.
Sebagai tindak balas, Adidas berkata: "Kami menolak sepenuhnya dakwaan tidak berasas ini."
Adidas menambah, pihaknya akan mengambil semua langkah yang perlu untuk mempertahankan diri terhadap dakwaan itu.
West bukan pihak dalam tuntutan mahkamah. Penyanyi rap itu mereka bentuk kasut yang sangat berjaya di bawah jenama Yeezy untuk Adidas.
Sejak itu, Adidas mengakui bahawa ia boleh kerugian sehingga AS$770 juta (RM3.4 bilion) selepas ditinggalkan dengan ratusan juta dolar produk Yeezy yang tidak terjual.
Oktober lalu, apabila syarikat itu menamatkan kerjasama, ia berkata: "Adidas tidak bertolak ansur dengan antisemitisme dan sebarang jenis ucapan kebencian yang lain.
"Komen dan tindakan Ye baru-baru ini tidak boleh diterima, penuh kebencian dan berbahaya serta ia melanggar nilai kepelbagaian dan keterangkuman syarikat, saling menghormati dan saksama." katanya.
Bagaimanapun, pelabur yang memfailkan tuntutan mahkamah di Amerika Syarikat (AS) terhadap syarikat itu pada Jumaat dengan mendakwa Adidas mengetahui tentang tingkah laku lain yang boleh dipersoalkan terhadap West.
Ini sekaligus mendakwa bahawa ia telah dibincangkan oleh bekas Ketua Eksekutif, Kasper Rorsted serta pengurusan lain.
Wall Street Journal menerbitkan butiran mengenai pertemuan yang didakwa pada 2018 di mana Adidas membincangkan mengenai West.
Laporan itu mendakwa bahawa eksekutif kanan bercakap tentang cara mengurangkan risiko kakitangan berinteraksi dengannya serta syarikat mungkin memutuskan hubungan dengan penyanyi rap itu.
Sejak Adidas berpisah dengan West pada Oktober tahun lalu, ia telah melancarkan siasatan selepas laporan penyanyi itu mencipta "persekitaran toksik" di syarikat itu.
Majalah Rolling Stone menerbitkan surat terbuka oleh kakitangan Adidas yang mendakwa bos menyedari "tingkah laku bermasalah" West tetapi "mematikan kompas moral mereka".
Sebagai tindak balas, Adidas berkata, tidak jelas sama ada tuduhan yang dibuat dalam surat tanpa nama itu adalah benar.
"Bagaimanapun, kami memandang serius dakwaan ini dan telah mengambil keputusan untuk melancarkan siasatan bebas berhubung perkara itu serta-merta bagi menangani dakwaan itu," katanya.
Oktober lalu, West mengadakan pertunjukan di Minggu Fesyen Paris di mana model memakai pakaian dengan slogan 'White Lives Matter'.
Liga Anti-Fitnah berkata, ia adalah "frasa ketuanan kulit putih yang berasal pada awal tahun 2015 sebagai tindak balas perkauman terhadap pergerakan 'Black Lives Matter'.
Lewat bulan itu, Instagram dan Twitter telah menggantung akaun West selepas didakwa membuat kenyataan antisemitik.