ADB sedia bantuan kecemasan AS$100 juta untuk sokong Mongolia

Bernama
Ogos 26, 2022 06:00 MYT
Pinjaman ADB ini akan menyokong langkah kerajaan untuk menstabilkan ekonomi Mongolia. - Foto fail
JAKARTA: Bank Pembangunan Asia (ADB) meluluskan bantuan kecemasan AS$100 juta kepada kerajaan Mongolia untuk membantu negara Asia Tengah itu menangani kesan kejutan ekonomi yang teruk akibat konflik Rusia-Ukraine dan lanjutan sekatan sempadan dengan China berikutan COVID-19.
Mongolia mengalami defisit akaun semasa yang semakin meluas, tekanan ke atas rizab pertukaran asing yang terus meningkat dan keperluan pembiayaan luar yang semakin bertambah, menurut ADB.
Kenaikan harga makanan dan bahan api mengurangkan kuasa beli dan meningkatkan kemiskinan, kata bank itu, sambil menambah bahawa inflasi melonjak kepada 16.1 peratus di seluruh negara setakat Jun 2022, menyebabkan kenaikan harga yang tinggi terutamanya untuk makanan dan bahan api.
Sebagai tindak balas, kerajaan Mongolia telah menyediakan program perbelanjaan pembangunan kitaran balas untuk membantu kumpulan miskin dan rentan, mengurangkan tekanan inflasi dan menyokong penstabilan makroekonomi.
"Pinjaman ADB ini akan menyokong langkah kerajaan untuk menstabilkan ekonomi," kata pakar sektor kewangan ADB untuk Asia Timur, Peter Rosenkranz dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, sokongan bajet yang disediakan melalui pinjaman kemudahan sokongan kitaran balas itu juga akan menyediakan ruang fiskal untuk meneruskan pembaharuan struktur ekonomi yang kritikal dalam jangka sederhana.
-- BERNAMA
#Bank Pembangunan Asia #Mongolia #bantuan kecemasan #kesan kejutan ekonomi
;