ADB lancar fasiliti vaksin Asia Pasifik bernilai AS$9 bilion

Bernama
Disember 11, 2020 05:59 MYT
APVAX menyediakan rangka kerja yang komprehensif dan peruntukan sumber bagi menyokong pembangunan akses vaksin Asia dengan menggunakan dua komponen pelengkap. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Bank Pembangunan Asia (ADB) telah melancarkan inisiatif vaksin bernilai US$9 bilion (US$1=RM4.05) yang dipanggil Fasiliti Akses Vaksin Asia Pasifik (APVAX), menawarkan sokongan yang pantas serta saksama kepada anggota-anggotanya yang sedang membangun untuk mendapatkan vaksin COVID-19 yang berkesan dan selamat.
Presiden Masatsugu Asakawa berkata anggota ADB yang sedang membangun memerlukan pembiayaan untuk mendapatkan vaksin serta pelan dan pengetahuan yang bersesuaian agar dapat menguruskan proses vaksin dengan selamat, saksama serta cekap.
"APVAX akan memainkan peranan kritikal dalam membantu anggota kami menghadapi cabaran termasuk untuk mengatasi pandemik dan memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
APVAX menyediakan rangka kerja yang komprehensif dan peruntukan sumber bagi menyokong pembangunan akses vaksin Asia dengan menggunakan dua komponen pelengkap.
"Komponen tindak balas yang pantas akan memberikan sokongan tepat pada masanya terhadap diagnostik vaksin yang kritikal, perolehan vaksin dan pengagihan vaksin dari tempat pembelian kepada anggota ADB yang sedang membangun.
"(Sementara itu,) komponen pelaburan projek akan menyokong pelaburan dalam sistem untuk pengagihan, penyampaian dan pentadbiran vaksin yang berjaya bersama-sama dengan pelaburan berkaitan kapasiti pembangunan, jangkauan komuniti serta pengawasan," katanya.
ADB berkata komponen kedua mungkin merangkumi bidang seperti penyimpanan dan pengangkutan rantaian sejuk, kenderaan, infrastruktur pengedaran, kemudahan pemprosesan termasuk pelaburan fizikal lain.
Ia juga boleh digunakan bagi membangunkan atau mengembangkan kapasiti pembuatan vaksin dalam membangunkan anggota ADB.
Menurut bank itu lagi, pembiayaan untuk vaksin akan disediakan melalui penyelarasan rapat dengan rakan pembangunan lain seperti Kumpulan Bank Dunia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Kemudahan Akses Global Vaksin COVID-19 (COVAX), pakatan vaksin GAVI serta rakan kongsi dua hala dan pelbagai hala.
-- BERNAMA
#Bank Pembangunan Asia #ADB #vaksin #Fasiliti Akses Vaksin Asia Pasifik #APVAX #COVID-19 #Pertubuhan Kesihatan Sedunia
;