Adam Smith International sahkan penasihatnya terbunuh di Kabul, rakyat malaysia
Bernama
Januari 19, 2014 07:56 MYT
Januari 19, 2014 07:56 MYT
Sebuah badan perunding ekonomi antarabangsa mengesahkan seorang daripada dua penasihatnya yang terbunuh dalam serangan berani mati di sebuah restoran di Kabul, Afghanistan Jumaat lepas ialah
Gnanathurai Nagarajah, rakyat Malaysia.
Pengarah Urusan Adam Smith International bagi London, Delhi dan Nairobi William Morrison berkata Gnanathurai, Penasihat Polisi dan Pembaharuan Bajet merupakan seorang daripada penasihat paling kanan projek itu dan beliau membantu dalam melakukan pembaharuan terhadap proses bajet negara Afghanistan.
"Sesiapa yang pernah bekerja dengan Gnana (Gnanathurai) dan terdedah dengan daya fikirnya yang cerdas, banyak pengalaman dan baik hati pasti akan menyukai dan menghormati beliau.
"Gnana, warganegara Malaysia, menerima ijazah sarjana ekonomi bagi kajiannya mengenai keupayaan kerajaan-kerajaan untuk mengawal perbelanjaan untuk jangka pendek dan jangka panjang," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam laman web firma http://www.adamsmithinternational.com/.
Seorang lagi mangsa yang juga bekerja sebagai penasihat firma itu ialah Dharmender Phangurha Singh, bagaimanapun kewarganegaraannya tidak dinyatakan dalam kenyataan itu.