Adakah keengganan FAA mampu mengundang kejadian MH370 berulang?

Agensi
Jun 11, 2015 13:29 MYT
FAA turut menolak saranan NTSB untuk memasang perakam video di dalam kokpit kerana mendakwa ia tidak akan membantu siasatan. - Foto Astro AWANI / Shahir Omar
Pentabdiran Penerbangan Persekutuan Amerika (FAA) enggan menerima cadangan untuk menjadikan sistem elektronik kokpit dalam pesawat sebagai sistem yang tidak boleh diubah (tamper-proof).
Penolakan FAA itu adalah susulan saranan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Amerika Syarikat (NSTB) supaya rekaan semula dilakukan kepada sistem elektronik kokpit agar ia tidak boleh diusik atau dipadamkan oleh sesiapa ketika berada di udara.
Alasan FAA kepada NTSB adalah juruterbang harus mempunyai akses kepada alatan elektronik untuk sebarang kejadian kecemasan seperti suhu sistem yang melampau atau kebakaran.
Dalam laporan Bloomberg baru-baru ini, FAA turut menolak saranan NTSB untuk memasang perakam video di dalam kokpit kerana mendakwa ia tidak akan membantu siasatan.
FAA sebelum ini mencadangkan agar saringan kesihatan mental dilakukan terhadap juruterbang untuk mengurangkan risiko gangguan juruterbang kepada penerbangan.
FOTO: Setahun MH370 : Memorial MH370 di Publika Kuala Lumpur
FOTO: Setahun MH370
FOTO: Di manakah MH370?
NTSB pula sejak dari tahun 1997 berkeras mahu agar perakam data penerbangan pesawat dibuat dalam bentuk 'tidak boleh diubah' selepas insiden pesawat Silk Air 185 yang telah mengorbankan 104 orang.
Namun FAA menolak cadangan itu dengan memberikan contoh Swiss Air iaitu penerbangan 111 pada 1998 di mana juruterbang gagal memotong bekalan elektrik ke sistem hiburan dalam pesawat selepas mengesan asap.
Kegagalan berkenaan mengakibatkan api merebak, pesawat tersebut terbakar dan akhirnya terhempas dan membunuh 229 orang.
Bloomberg menyatakan keengganan FAA itu akan menyukarkan usaha-usaha untuk menghentikan peristiwa kehilangan pesawat MAS MH370 dan kes sabotaj juruterbang seperti dalam kes pesawat Germanwings 9525.
Persoalannya, mungkinkah keengganan FAA itu bakal menyebabkan satu lagi kejadian seperti MH370 berulang?
Pada 15 Mac 2014, seminggu selepas kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ada mengumumkan bahawa pesawat tersebut telah mengambil laluan baru transponder telah dimatikan dengan sengaja ketika ia menghampiri ruang udara Vietnam.
#FAA #Malaysia Airlines #MAS #MH370 #NTSB
;