Ada simbolik, pemuzik di Barcelona buat persembahan depan pokok

Agensi
Jun 24, 2020 21:50 MYT
Sebanyak 2,292 tanaman dibawa masuk ke dalam teater berkenaan. - Reuters
Sekumpulan pemuzik di Dewan Opera Gran Teatre del Liceu, Barcelona, baru-baru ini membuat persembahan di hadapan audiens yang sedikit berbeza.
Tidak seperti kebiasaannya, tempat duduk dalam dewan itu dipenuhi oleh tumbuh-tumbuhan.
Sebanyak 2,292 pokok dibawa masuk ke dalam teater berkenaan ketika kuartet itu mempersembahkan alunan muzik Crisantemi.
Persembahan itu juga disiarkan melalui penstriman secara langsung.
Menerusi satu kenyataan, dewan itu memaklumkan ia satu simbolik gabungan nilai seni, muzik dan alam semula jadi.
Tumbuhan itu diambil dari sebuah tapak semaian berdekatan.
Kesemua pokok berkenaan kemudian disumbangkan kepada petugas di Hospital Barcelona selepas selesai persembahan.
"Selepas berjaya melalui satu tempoh yang sukar, kami mahu memberi perspektif berbeza yang membawa kami lebih mendekati dan menilai semula hubungan kita dengan alam semula jadi," kenyataan itu menambah.
COVID-19 menyebabkan Sepanyol berada dalam perintah sekatan pergerakan sejak Mac, memaksa Liceu membatalkan semua aktiviti dan persembahannya.
Negara itu setakat ini mencatatkan 246,504 kes jangkitan dan 28,324 kematian.
Perintah sekatan pergerakan mula dilonggarkan pada Ahad dan dewan persembahan dibenarkan dibuka semula dengan jumlah penonton yang terhad.
#barcelona #COVID-19 #dewan opera #Gran Teatre del Liceu #pemuzik #persembahan #Seni #sepanyol
;