Ada sebab selebriti bergelut dengan masalah kesihatan mental - Rose BLACKPINK

Agensi
November 19, 2023 10:45 MYT
Rose muncul dalam program kesedaran kesihatan mental yang dihoskan Jill Biden, pada Jumaat.
BINTANG K-pop, Rose berkata, adalah penting bagi dunia untuk memahami bahawa selebriti juga mempunyai sebab yang menyebabkan mereka bergelut dengan masalah kesihatan mental.
Dia berkata demikian ketika muncul bercakap dalam program kesedaran kesihatan mental yang dihoskan oleh wanita pertama Amerika Syarikat, Jill Biden, pada Jumaat.
Rose, salah seorang anggota kumpulan BLACKPINK berkata, mempunyai pengikut media sosial yang ramai membuatkan dia berasa tidak selamat, terutamanya apabila peminat dan orang ramai mengkritiknya.
"Saya berasa seperti apa yang saya lakukan tidak pernah mencukupi, dan tidak kira betapa payahnya saya mengusahakan sesuatu, akan sentiasa ada yang mempunyai pendapat mereka sendiri atau yang suka mengawal naratif.
"Dari situlah datangnya rasa sunyi, seolah-olah saya bersendirian," katanya.
Rose berkata adalah penting untuk terus bercakap tentang perkara tersebut, walaupun sukar.
"Sama seperti kita memberi makan kepada diri kita sendiri untuk kesihatan dan kecergasan yang lebih baik, kesihatan mental hanya boleh dikekalkan sama seperti kesejahteraan fizikal kita," tambahnya.
Perbincangan itu adalah sebahagian daripada beberapa program yang dianjurkan oleh Jill Biden untuk isteri dan pasangan pemimpin Asia-Pasifik di California minggu ini yang menghadiri forum tahunan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).
Kehadiran Rose atas jemputan wanita pertama Korea, Kim Keon Hee.
#Rose #BLACKPINK #kesihatan mental #K-pop
;