'Ada hari saya tidak mahu bangun langsung' - Guru ditembak pelajar 6 tahun

Astro Awani
Mac 21, 2023 09:30 MYT
Zwerner mengakui masih menghadapi kesukaran menggunakan tangan kirinya seperti membuka botol air atau memakai baju. - Foto Twitter/@punditOcrat
SEORANG guru sekolah rendah yang cedera parah selepas ditembak oleh pelajar berusia 6 tahun ketika dia sedang mengajar awal tahun ini masih trauma selepas insiden itu.
Abigail Zwerner berkata, dia turut menghadapi kesukaran menjalani kehidupan seperti biasa terutama selepas terpaksa menjalani beberapa pembedahan akibat ditembak di tangan kiri dan bahagian dada.
Bercakap dalam satu temu bual pertama sejak kejadian itu dalam rancangan TODAY pada Isnin, Zwerner berkata dia juga mengalami kemurungan.
"Ada hari saya gembira, ada hari saya tidak ingin bangun langsung," katanya.
Guru berusia 25 tahun ini baru sahaja menjalani pembedahan keempat pada tangan kirinya.
"Selepas apa yang saya lalui, saya masih berfikiran positif.
"Saya terpaksa berbuat demikian jika saya ingin meneruskan kehidupan," jelasnya.
Zwerner turut dipuji ketika menghadapi kejadian di Sekolah Rendah Richneck, Virginia, Amerika Syarikat (AS) pada 7 Januari lepas di mana dia berjaya menyelamatkan 20 pelajar selepas dirinya ditembak.
Dia terpaksa menerima rawatan di hospital selama dua minggu.
Dalam satu temu bual bersama NBC News pada Isnin, Zwerner mengakui masih menghadapi kesukaran menggunakan tangan kirinya seperti membuka botol air atau memakai baju.
Ketika ini para doktor masih tidak pasti jika dia akan dapat menggunakan tangannya itu seperti sebelum ini.
"Saya harus sentiasa menggerakkan tangan saya bagi membolehkan darah mengalir dengan sempurna," katanya.
#guru sekolah rendah #tembakan #pelajar #trauma
;