Ada apa, Kim Kardashian boikot Facebook, Instagram?
Astro Awani
September 16, 2020 22:09 MYT
September 16, 2020 22:09 MYT
Selebriti realiti televisyen, Kim Kardashian West mengumumkan untuk memboikot Instagram dan Facebook selama 24 jam pada Rabu sebagai menunjukkan protes terhadap laman sosial itu yang memberi ruang kepada penyebaran maklumat palsu dan kebencian.
Portal tempatan The Verge melaporkan, tindakan Kardashian itu adalah sebagai menyokong kempen Stop Hate for Profit yang turut disertai beberapa selebriti lain termasuk Leonardo DiCaprio, Sacha Baron Cohen, Katy Perry dan Michael B Jordan.
Kempen itu adalah bagi memberi tekanan kepada laman sosial itu untuk meningkatkan usaha mengekang penyebaran maklumat palsu dan berunsur kebencian.
"Hanya mengambil langkah selepas seseorang dibunuh. Maklumat salah yang disebarkan melalui media sosial memberi kesan serius terhadap pilihan raya kita dan pada masa yang sama merosakkan demokrasi," katanya dalam Twitternya sambil mendesak orang untuk bersama-sama menyertai kempen itu.
Kardashian memberitahu, dia tidak boleh duduk dan mendiamkan diri melihat platform itu terus menyebarkan propaganda dan maklumat berunsur kebencian.
Kempen Stop Hate for Profit antara lain turut menyaksikan pengiklan memboikot media sosial berkenaan.
Pada Julai lalu, kira-kira 1,000 pengiklan termasuk VW dan Adidas menyertai kempen berkenaan.
Bagaimanapun, Facebook pada laporan kewangan suku tahun pada akhir Julai merekodkan keuntungan AS5.2 bilion (RM21.47 juta).