"Ada antara kami akan mati", gelandangan di India makin tersepit

Agensi
April 2, 2020 18:21 MYT
Menurut kebanyakan aktivis, pelan rangsangan itu tidak jelas dari segi jumlah gelandangan yang menerima manfaat tersebut. - REUTERS
“Ada antara kami akan mati, kami miskin, kami tiada nilai di sisi siapa-siapa,” itu antara luahan golongan gelandangan di India yang makin tersepit.
Selepas seminggu pelaksanaan perintah berkurung dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19 di negara itu, dianggarkan sejumlah 4 juta orang rakyatnya menerima nasib malang akibat perintah itu ekoran ketiadaan sumber makanan dan tempat berlindung.
Situasi meruntun jiwa itu bukan sahaja memberi ancaman kepada nyawa orang lain yang terdedah dengan jangkitan, namun ini realiti yang terpaksa dihadapi golongan itu.
Pihak-pihak yang membela golongan bawahan pula tidak kurang juga mengkritik tindakan pemerintah meskipun itu merupakan usaha kerajaan dalam membendung penularan jangkitan dalam kalangan rakyat.
Tindakan pemerintah India untuk melaksanakan perintah berkurung selama 21 hari, bagaimanapun, disifatkan sebagai satu keputusan yang dibuat tanpa berfikir panjang.
Pengarah Eksekutif Perumahan dan Rangkaian Hak Tanah, yang juga kumpulan bukan berasaskan keuntungan, Shivani Chaudhry, berkata beliau tidak bersetuju dengan langkah drastik Perdana Menteri, Narendra Modi mengenakan perintah itu kepada populasi rakyat India yang besar.
“Di pusat perlindungan (gelandangan), kami berdepan depan cabaran yang amat besar seperti ruang yang terhad dan kekurangan sanitasi.
“Jika salah seorang daripada mereka bergejala, maka penularannya sangat sukar untuk dikawal,” katanya.
Dalam pada itu, difahamkan, terdapat beberapa buah bandar seperti Delhi dan Chennai menyediakan rumah tumpangan kepada gelandangan sementara di sebahagian kawasan seperti di Mumbai, golongan itu terkandas di jalanan.
Di sebelah timur bandar Kolkata pula, Pegawai Majlis Perbandaran berkata, rumah perlindungan gelandangan milik kerajaan mula penuh dan usaha untuk mengamalkan penjarakan sosial dilihat mustahil untuk dilaksanakan.
“Bagaimana kita boleh membuat penjarakan sosial? Jika kami asingkan mereka, kami perlu lepaskan mereka,” kata seorang pengurus di sebuah pusat perlindungan yang memuatkan 500 orang.
Memetik laporan Reuters, kerajaan telah mengumumkan sejumlah AS$22.6 bilion menerusi pelan rangsangan yang menyediakan dalam bentuk bantuan tunai dan pelan keselamatan makanan.
Namun, menurut kebanyakan aktivis, pelan rangsangan yang diumumkan itu tidak jelas dari segi mekanisme dan jumlah yang diperuntukkan kepada golongan gelandangan.
India setakat Khamis mencatatkan lebih 2,000 kes jangkitan dan 58 kematian akibat COVID-19.
BACA: COVID-19: India laksana perintah berkurung 21 hari
BACA: Golongan terkaya di India turun padang perangi COVID-19
#COVID19 #gelandangan India #India #koronavirus #Mumbai #Narendra Modi #New Delhi #pandemik #perintah berkurung
;