Ada 10 negara lagi akan pindah kedutaan ke Baitulmaqdis - Tzipi Hotovely

Agensi
Disember 26, 2017 08:10 MYT
HOTOVELY: Kebanyakan negara berkenaan memegang budaya agama Kristian yang kuat - Foto Reuters
Selepas Guatemala menjadi pendahulu mengikut telunjuk Amerika Syarikat, ada 10 negara lagi sedang mempertimbangkan untuk mengitiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Timbalan Menteri Luar Israel, Tzipi Hotovely mengesahkan maklumat terbabit namun tidak mendedahkan nama 10 negara berkenaan.
"Kebanyakan negara terbabit mempunyai tradisi pegangan agama Kristian yang kuat," katanya dalam temubual di radio awam Kan Bet pada Isnin.
Berdasarkan keputusan undian dalam sesi tergempar Majlis Keselamatan PBB minggu lalu, Filipina, Republik Czech dan Romania merupakan antara negara yang mengambil keputusan berkecuali.
Namun, menurut Pengarah Polisi Kesatuan Eropah (EU), Federica Mogherini dalam kenyataannya mendapati Menteri Luar Republik Czech telah berjanji untuk tidak memindahkan kedutaannya ke Baitulmaqdis selaras dengan dasar EU untuk mengiktiraf bandar terbabit sebagai ibu kota Palestin.
Setakat ini, bantahan penduduk Palestin berhubung pengisytiharan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel oleh Donald Trump telah meragut 11 nyawa.
#Amerika Syarikat #Baitulmaqdis #Donald Trump #EU #Federica Mogherini #Filipina #Israel #Kesatuan Eropah #Majlis Keselamatan #PBB #Tzipi Hotovely